Pengunduran U Mobile daripada DNB diyakini kurangkan tekanan perbelanjaan modal CelcomDigi, Maxis - Maybank IB

LocalTechnology
14 May 2025 • 11:19 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengunduran U Mobile daripada DNB diyakini kurangkan tekanan perbelanjaan modal CelcomDigi, Maxis - Maybank IB

image is not available

14/05/2025 - 11:19

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mei - Langkah UMobile menarik diri daripada Digital Nasional Berhad (DNB) dipercayai mengurangkan kebimbangan berhubung perbelanjaan modal (capex) bagi CelcomDigi Bhd dan Maxis Bhd yang kini boleh memberi tumpuan kepada akses rangkaian 5G tanpa perlu membinaya sendiri.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, dengan potensi semakan semula terhadap pengaturan akses 5G yang akan diumumkan, industri telekomunikasi dijangka lebih cekap dari segi kos dan kurang pertindihan pelaburan.

Katanya, susulan penganugerahan rangkaian 5G kedua kepada UMobile pada November 2024, pemegang saham DNB yang lain telah bersetuju untuk mengambil alih 100,000 saham UMobile dalam DNB.

YTL Power International Bhd, CelcomDigi dan Maxis masing-masing akan memperoleh 33,333 saham, manakala Menteri Kewangan Inc (MOF Inc) akan mengambil baki 1 saham.

Termasuk pendahuluan pemegang saham (pendahuluan UMobile akan dianggap sebagai bayaran pendahuluan untuk akses 5G selepas pengundurannya), YTLP, CelcomDigi dan Maxis masing-masing akan memiliki pegangan sebanyak 19.4% dalam DNB selepas transaksi, dengan MOF Inc memiliki baki 41.7%.

"Pelarasan pegangan saham dalam DNB ini secara tidak langsung mengesahkan bahawa UMobile akan menjadi satu-satunya pemegang saham rangkaian 5G kedua.

"Ini secara langsung mengurangkan kebimbangan terhadap perbelanjaan modal (capex) berkaitan 5G bagi CelcomDigi dan Maxis, pada pandangan kami. Namun, masih tiada pengumuman mengenai sebarang semakan ke atas perjanjian akses DNB buat masa ini," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, untuk makluman, MOF Inc masih mengekalkan opsyen jual (put option) yang membolehkannya menjual sahamnya kepada pemegang saham DNB sedia ada untuk keluar daripada DNB (pemegang saham lain juga mempunyai opsyen beli (call option) yang sepadan untuk mengambil alih saham MOF Inc jika opsyen jual itu luput).

Katanya, tarikh kini telah ditetapkan, di mana MOF Inc boleh melaksanakan opsyen jual tersebut dalam tempoh sebulan selepas 12 November 2025.

Setelah MOF Inc keluar, DNB akan menjadi sebuah syarikat bersekutu kepada setiap pemegang saham yang kekal dan akan diambil kira secara ekuiti (buat masa ini, ia diklasifikasikan sebagai pelaburan sahaja).- DagangNews.com

featured standard