Pengunjung puas hati dapat beli banyak barang di JER dengan RM50

27 Aug 2023 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

Oleh SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA, 27 OGOS: Seorang suri rumah berpuas hati berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga murah dengan potongan 30 peratus.

Kamsiah Mohd Rashid, 74, yang baru pertama kali datang ke program itu berharap Kerajaan Negeri meneruskan jualan murah itu kerana dapat membantu penduduk menjimatkan perbelanjaan.

image is not available
Kamsiah Mohd Rashid

“Saya berpuas hati dengan harga yang murah, bawa RM50 pun dapat beli banyak barang memang patut Kerajaan Negeri teruskan program seperti ini, penduduk dapat berjimat.

“Masih ramai orang yang tidak berkemampuan, jadi dengan harga ini mereka dapat beli walaupun satu, dua barang,” katanya pada JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

image is not available
Eddie Yap

Manakala pesara, Eddie Yap, 55, turut memuji kualiti barang yang dijual selain selalu menghebahkan kepada jiran tentang penganjuran JER.

“Saya selalu bawa mak beli ayam dan ikan, barang-barang di sini semua segar dan kualiti juga bagus, saya juga selalu ajak jiran-jiran datang selepas dapat maklumat melalui Facebook,” katanya yang datang dari Ampang.

image is not available
Sharifah Bujang

Sementara itu suri rumah, Sharifah Bujang, 54, pula berharap agar jualan murah ini dapat dianjur lebih kerap susulan sambutan yang menggalakkan.

“Saya rasa program ini harus diadakan selalu atau sebulan sekali dan kalau boleh adakan ketika awal bulan kerana kebanyakan penduduk baru menerima gaji,” katanya.

JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).