Pengunjung rebut peluang beli keperluan Aidiladha di jualan murah

22 Jun 2023 • 2:50 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

SHAH ALAM, 22 JUN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Masjid Saujana Utama hari ini dimanfaat pengunjung bagi membeli barangan keperluan terutama menjelang sambutan Aidiladha.

Pemandu van sekolah, Budiman Mohd Ali, 39, berkata, jualan murah itu membantunya berjimat apatah lagi keperluan Raya Haji memerlukan lebih banyak kos.

image is not available
Budiman Mohd Ali

“Saya memang menantikan jualan murah ini, lagipun sambutan Aidiladha pun sudah dekat dan banyak yang perlu dibeli, jadi alang-alang saya datang bawa ibu sekali untuk beli stok raya.

“Alhamdulillah, program ini sangat membantu kerana harga yang ditawarkan sangat berpatutan dan murah 30 peratus berbanding harga di luar,” katanya pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras.

image is not available
Mohamad Suhardi Mohamad Subri

Seorang lagi pengunjung, Mohamad Suhardi Mohamad Subri, 40 berkata, ini bukan kali pertama beliau berkunjung ke JER dan sentiasa menantikan program itu diadakan.

“Ini kali ketiga saya datang untuk beli barang-barang seperti minyak, beras dan ayam dan saya sangat berpuas hati dengan kualiti barangan yang ditawarkan walaupun harganya lebih murah,” katanya.

image is not available
Aminah Isa

Suri rumah, Aminah Isa, 46, berkata beliau sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan barangan yang ditawarkan mengakui program tersebut membantu menjimatkan perbelanjaan bulanan keluarganya.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, program seperti ini banyak membantu kami sekeluarga dan saya pasti ramai lagi yang merasai perkara sama,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap JER di Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) atau pautan http://linktr.ee/myPKPS