Pengurangan cukai pendapatan, usaha kerajaan bantu golongan M40: CTIM

8 Oct 2022 • 6:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Pengurangan kadar cukai pendapatan individu yang diumumkan dalam Bajet 2023 adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu individu berpendapatan sederhana (M40) menangani peningkatan kos sara hidup, kata Presiden Institut Cukai Malaysia (CTIM), Chow Chee Yen.

“Pengurangan kadar cukai pendapatan peribadi tidak selalu dilaksanakan. Ia sungguh mengejutkan bahawa kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan sebanyak dua peratus bagi individu yang memperoleh pendapatan bercukai antara RM50,001 hingga RM100,000 (ia berkuat kuasa pada tahun 2023).

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu individu berpendapatan sederhana menangani kenaikan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka sehingga RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam.

Sementara itu, Chow berkata langkah mengurangkan kadar cukai pendapatan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) kepada 15 peratus daripada 17 peratus bagi pendapatan bercukai RM100,000 pertama, berkuat kuasa dari tahun taksiran 2023 adalah kesinambungan kepada amalan kerajaan dalam menyokong MSME dan mengiktiraf sumbangan mereka kepada ekonomi.

“Langkah ini dijangka memanfaatkan sebanyak 150,000 pembayar cukai dalam kalangan MSME, penjimatan cukai sehingga RM2,000 setiap seorang, ia akan membantu mereka dalam tempoh pemulihan pasca Covid-19 ini,” katanya.

Secara keseluruhannya, Chow berkata Bajet 2023 ialah bajet pengembangan dan mesra pelaburan, pembangunan, pendidikan, alam sekitar, pemerkasaan dan apa yang paling penting ia adalah bajet mesra rakyat.

“Bajet ini mengutamakan dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi semasa dan ia dijangka meneruskan momentum pemulihan negara yang kini sedang berjalan selain memberi penekanan kepada pembaharuan struktur serta mengukuhkan daya tahan ekonomi,” katanya.-Bernama