
JAKARTA: Pengurangan eksport gas Indonesia ke Singapura masih dalam had yang dibenarkan berdasarkan kontrak, kata Menteri Penyelaras Hiliran dan Peralihan Tenaga Indonesia, Bahlil Lahadalia pada Isnin.
Pengurangan eksport itu, yang menurut Indonesia dilaksanakan bagi mengalihkan lebih banyak bekalan untuk memenuhi keperluan elektrik domestik, bermula Sabtu lalu dan melibatkan 878,000 meter padu standard gas sehari, iaitu 425,000 meter padu dari Natuna serta 16 juta dari Sumatera.
Bahlil berkata dalam sidang media bahawa pengurangan itu masih mematuhi had minimum yang ditetapkan dalam kontrak, iaitu sekitar 91 hingga 92 peratus daripada jumlah eksport.
“Kami hanya mengurangkannya kira-kira lapan peratus. Kami hanya akan melanggar kontrak jika pengurangan mencecah 10 peratus,” kata Bahlil, yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Mineral.
“Situasi ini berlaku sebahagiannya disebabkan keperluan penyelenggaraan, tetapi juga kerana permintaan domestik. Itu hanya melibatkan gas belum lagi mengambil kira gas asli cecair (LNG) yang kami bekalkan,” tambahnya.
Indonesia merupakan antara sumber utama gas asli Singapura, dengan membekalkan 411 bilion meter padu gas pada 2024, menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA).
Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) berkata, jumlah pengurangan itu menyumbang kurang daripada dua peratus daripada keseluruhan permintaan gas harian negara kota itu. – AGENSI
The post Pengurangan eksport gas Indonesia ke Singapura tidak langgar kontrak appeared first on Utusan Malaysia.
