Pengurangan OPR beri kesan positif perbelanjaan faedah RCE Capital, kata RHB Research

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2025 • 9:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengurangan OPR beri kesan positif perbelanjaan faedah RCE Capital, kata RHB Research

image is not available

14/08/2025 - 09:25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Ogos — Langkah Bank Negara Malaysia menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus membantu RCE Capital Berhad, menurut RHB Research.

Firma penyelidikan tersebut berkata, tindakan dilakukan bank pusat itu pada 9 Julai 2025, memberi banyak kesan positif terhadap urusan perbelanjaan faedah ke atas pusingan kredit kumpulan berkenaan.

Tambahnya, perkara yang berkaitan perbelanjaan tersebut ketika ini membentuk kira-kira 30 peratus daripada asas liabiliti pembiayaan kumpulan kredit berkenaan dan pengurangan OPR dilihat amat baik.

"Kami menganggarkan penjimatan perbelanjaan faedah berjumlah RM2 juta setahun yang mungkin tidak terlalu ketara tetapi ada sedikit manfaat daripada pemotongan OPR," kata RHB Research dalam notanya.

RCE Capital baru-baru ini mencatatkan keuntungan bersih pada 1QFY26 sebanyak RM26 juta, penurunan 14 peratus tahun ke tahun (YoY) yang menepati 17 peratus ramalan setahun penuh firma penyelidikan itu.

Penyusutan tersebut berikutan pendapatan operasi yang lebih lemah daripada jangkaan sebanyak RM63.5 juta disebabkan pertumbuhan pembiayaan belum diterima lebih perlahan berbanding unjuran awal.

Mengulas lanjut, RHB Research berkata, kemerosotan berkenaan juga berpunca kerana penjejasan nilai yang lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak RM11 juta iaitu peningkatan sebanyak 46 peratus YoY.

"Keadaan negatif ini ekoran kadar kes kebankrapan dan persaraan awal yang masih tinggi dalam kalangan penjawat awam sehingga mempengaruhi momentum pertumbuhan RCE Capital," kata firma tersebut.

Bagaimanapun secara material, syarikat itu sedang merancang terbitan sukuk baharu untuk memanfaatkan pergerakan hasil bon menggalakkan sejak kebelakangan ini tetapi jumlah dan kadar tidak didedahkan.

RHB Research berpendapat, langkah penerbitan sukuk tambahan ini membolehkan kumpulan berkenaan dapat menurunkan lagi jumlah kos keseluruhan dananya dengan ketara dalam tempoh lebih lama.

Tambahnya, harga saham RCE Capital susut sebanyak 16 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu, dan berkemungkinan akan terus mengehadkan sebarang potensi terhadap kenaikan harga saham kumpulan itu.

"Kami mengurangkan anggaran pendapatan FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 15%, 12% dan 10% kerana mengambil kira pertumbuhan penghutang lebih lemah dan andaian tinggi kos kredit," katanya.

Berdasarkan perkembangan itu, RHB Research mengekalkan saranan 'neutral' ke atas prospek kumpulan ini dengan harga sasaran diturunkan kepada RM1.15 berbanding RM1.25 sebelumnya. - DagangNews.com

standard