
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan jumlah peruntukan Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada 24 Februari ini ‘dikurangkan’, namun ia tidak akan membebankan program pembangunan negara.
Menteri Kewangan itu berkata, beberapa strategi belanjawan dan angka awal untuk Belanjawan 2023 sudah dibentang kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
“Saya bentangkan strategi belanjawan dan angka awal kerana negara tidak boleh bertahan dengan defisit tinggi.
“Sejauh mana mampu kita kurangkan dan pengurangan yang tidak bebankan program pembangunan kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu, di sini.
Persidangan Dewan Rakyat dijadualkan bermula pada 13 Februari ini dan Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari.
Sementara itu, beliau berkata, negara perlu melakukan perubahan dari aspek teknologi dan digital bagi memastikan pekerja tempatan mendapat peluang pekerjaan.
Mengambil contoh mekanisme dilaksanakan Permodalan Nasional Berhad, Anwar memaklumkan, tiada sebarang masalah timbul bagi pengambilan pekerja tempatan untuk bekerja di ladang.
Menyentuh isu pekerja asing, beliau mahu pemantauan dilaksana Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya pendaftaran golongan itu dapat dilakukan tanpa menggunakan ejen yang akan melibatkan kos tinggi.
“Contohnya bagi Nepal, kos hanya RM3,700, tetapi Bangladesh dan Indonesia, masing-masing melibatkan kos antara RM20,000 hingga RM25,000,” katanya.
Perdana Menteri berkata, perhatian akan diberikan kepada perkara itu dan kenaikan upah tidak menjadi masalah, namun kenaikan bayaran untuk ejen adalah satu perhambaan moden.
Ditanya mengenai calon pengganti Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang bakal tamat tempoh perkhidmatan Mac ini, Anwar berkata, perkara itu masih belum dibincangkan.
Media sebelum ini melaporkan tiga nama hakim sudah dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri untuk menggantikan Idrus yang dilantik secara kontrak selama setahun, bermula 6 Mac 2020. – Bernama


