Pengurangan peruntukan DBKL, ITMAX terdedah risiko hilang kontrak - Maybank IB

LocalTechnology
5 Aug 2025 • 12:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengurangan peruntukan DBKL, ITMAX terdedah risiko hilang kontrak - Maybank IB

image is not available

05/08/2025 - 12:13

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Ogos — ITMAX System Berhad terdedah risiko untuk kehilangan penyambungan kontrak sedia ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Firma penyelidikan tersebut berkata, kelemahan berkenaan antara dikenal pasti susulan laporan yang menyatakan agensi itu berhasrat mengurangkan peruntukan secara ketara dalam belanjawan operasinya.

Tambahnya, jika dilaksanakan DBKL, kontrak penyedia perkhidmatan infrastruktur digital bersepadu yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu diramal ditamatkan serta menjejaskan hasil kumpulan.

"Tender tersebut mungkin diberikan pula kepada syarikat pesaing lain yang menawarkan harga lebih rendah dan kehilangan itu mengakibatkan seretan kos tinggi," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

DBKL menerusi Belanjawan 2025 memperuntukkan RM2.84 bilion dengan hasrat mengurangkan lagi defisit sebanyak RM325.9 juta pada tahun ini untuk mencapai belanjawan seimbang menjelang tahun depan.

ITMAX pada 16 Ogos 2024 memperoleh kontrak DBKL bernilai RM539.46 juta untuk pemasangan tambahan 5,000 kamera pengawasan dan papan makluman pesanan awam secara video dalam tempoh 120 bulan.

Mengulas lanjut, Maybank IB berkata, langkah pengurangan peruntukan DBKL turut boleh menjejaskan pelbagai inisiatif pengembangan perniagaan dirangka kumpulan berkenaan dan pendapatan tahunannya.

"Ini merupakan risiko utama mana-mana syarikat apabila kontrak mereka tidak diperbaharui selain berdepan dengan cabaran lebihan kos sedia ada dan potensi pengurangan dana operasi kerajaan," katanya.

Berdasarkan risiko berkenaan, firma penyelidikan itu menyemak semula pendapatan ITMAX untuk tempoh tahun kewangan 2025 sehingga 2027 dengan peningkatan yang kecil iaitu sebanyak dua peratus sahaja.

Perkembangan tersebut kata Maybank IB, setelah ia mengambil kira perolehan kontrak baharu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) selama 10 tahun sebagai pengendali skim parkir pintar Selangor (SIP).

Langkah penswastaan parkir awam itu namun mendapat bantahan beberapa ahli Parlimen kerana bimbang terhadap ketelusan, keadilan dan kesan kewangan yang timbul ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kami masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas ITMAX dengan harga sasaran sesaham dinaikkan kepada RM4.98 berbanding RM4.50 sebelum itu," kata firma tersebut. - DagangNews.com

standard