
SHAH ALAM: Seorang pengurus besar syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas empat pertuduhan pelupusan wang RM10.6 juta milik dua syarikat kejuruteraan dan teknologi kepada sebuah syarikat lain.
Mengikut kesemua pertuduhan, G. Paismanathan, 52, didakwa dengan curang telah menyebabkan seorang wanita melupuskan wang milik dua syarikat itu bagi pembayaran kepada satu syarikat lain berjumlah RM10.6 juta membabitkan sembilan kerja yang diketahui tertuduh tidak wujud.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah syarikat di Ara Damansara, Petaling Jaya, dekat sini antara 1 Ogos 2017 dan 5 Jan 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan RM500,000, dengan dua kali pembayaran iaitu RM250,000 dibayar pada hari ini dan baki dibayar sebelum atau pada hari sebutan kes.
“Saya juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu dijamin dengan dua penjamin warganegara, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan,” katanya.
Peguam Amir Farid Nawawi dan Mohd Rizal Bahari yang mewakili tertuduh tidak membantah jaminan dan syarat yang dimohon pihak pendakwaan.
Hakim Rozilah Salleh membenarkan kesemua cadangan pendakwaan termasuk bayaran ansuran jaminan dan menetapkan 17 Nov ini untuk sebutan semula kes.-Bernama

