Pengurus kilang rugi lebih RM940,000 terperdaya pelaburan dalam talian

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2024 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang pengurus kilang mengalami kerugian RM943,250 selepas mendakwa terpedaya dengan pelaburan dalam talian, pada Mei lepas.

JOHOR BAHRU - Seorang pengurus kilang mengalami kerugian RM943,250 selepas mendakwa terpedaya dengan pelaburan dalam talian, pada Mei lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata wanita berusia 53 tahun itu telah dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp yang menawarkan pelaburan dalam bidang perhotelan dan menjanjikan kadar pulangan tinggi serta mudah dalam jangka masa singkat oleh individu tidak dikenali.

Beliau berkata, tertarik dengan keuntungan dijanjikan, mangsa telah membuat pembayaran secara pindahan dalam talian ke beberapa akaun bank berbeza berjumlah RM943,250 untuk dilaburkan, pada September hingga Oktober lepas.

"Setelah bayaran dibuat, mangsa dimaklumkan bahawa pelaburannya telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM600,000 namun dia dikehendaki membuat bayaran tambahan bagi membolehkan wang keuntungan itu dikeluarkan.

"Bagaimanapun, mangsa enggan membuat bayaran tambahan seperti diminta dan percaya dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis pada Sabtu lepas dengan kerugian dialami berjumlah RM943,250," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pada masa sama beliau menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian dengan pulangan tinggi pada masa singkat. - Bernama