Pengurusan kelembapan tanah kritikal bagi pastikan kesuburan sawit – Ahli Agronomi

21/07/2025 - 08:00
Oleh MOHD KHAIRIL JAMAHURI
Dalam mendepani cabaran cuaca panas melampau yang kini melanda negara sekarang, pendekatan pengurusan kelembapan tanah secara bersepadu disifatkan sebagai langkah paling kritikal dalam memastikan kelestarian hasil tanaman kelapa sawit.
Ketegasan kelembapan (water stress) yang berlaku sepanjang musim kering bukan sahaja mengganggu proses fisiologi penting pokok seperti fotosintesis dan pengambilan nutrien, malah memberi impak langsung terhadap pembentukan buah tandan segar (BTS), justeru menjejaskan produktiviti keseluruhan ladang.
Faktor seperti suhu tanah yang meningkat, penurunan kelembapan dan hakisan bukan hanya melemahkan pertumbuhan akar, tetapi turut menurunkan aktiviti mikrob yang memainkan peranan penting dalam kitaran nutrien.
Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan Monsun Barat Daya yang bermula pada 10 Mei dijangka berterusan sehingga pertengahan September dengan cuaca panas, kering dan litupan awan minimum.
Data terkini turut mencatatkan suhu harian mencecah 37°C di kawasan pedalaman, dengan penurunan hujan melebihi 40 peratus daripada purata biasa – satu petanda jelas kesan El-Niño sederhana hingga kuat seperti dilaporkan NOAA (2025).

Dalam konteks ini, pelbagai strategi telah disarankan oleh penyelidik dan pengamal ladang. Antaranya penggunaan litupan organik seperti tandan kosong sawit (EFB) serta penyusunan pelepah secara sistematik di zon akar bagi mengurangkan kadar penyejatan dan mengekalkan suhu tanah yang stabil.
Kajian menunjukkan penggunaan EFB pada kadar 30–40 tan sehektar berupaya mengekalkan kelembapan tanah dan memperbaiki struktur agregat tanah.
Selain itu, penanaman kekacang penutup bumi (KPB) seperti Calopogonium mucunoides dan Pueraria javanica di kawasan pembangunan semula serta ladang pra matang dilihat bukan sahaja membantu mengurangkan hakisan, malah menyumbang nitrogen secara semula jadi kepada tanah melalui proses penetapan biologi.
Pemeliharaan rumput lembut di ladang matang juga disaran agar keseimbangan kelembapan tanah terpelihara.
Dari sudut kejuruteraan ladang, struktur seperti parit tadahan air (water diversion drain) dan silt pit pula berfungsi sebagai perangkap sedimen serta takungan air yang boleh digunakan oleh pokok sawit dalam tempoh kering berpanjangan.
Dalam pada itu, strategi pembajaan juga perlu diselaraskan mengikut keadaan kelembapan tanah. Pembajaan sewajarnya dilakukan selepas hujan ringan dan dielakkan ketika tanah terlalu kering.

Baja perlu ditabur di kawasan timbunan pelepah bagi mengurangkan penyejatan dan meningkatkan kadar serapan. Penggunaan baja jenis mudah meruap seperti urea perlu dielakkan semasa musim kering.
Amalan pemangkasan pelepah secara terkawal juga dicadangkan bagi mengurangkan kadar kehilangan air melalui evapotranspirasi. Walaubagaimanapun, langkah ini harus seimbang agar tidak menjejaskan kadar fotosintesis.
Secara umumnya, pengekalan sekitar 36 hingga 40 pelepah per pokok adalah ideal bagi mengekalkan kesihatan pokok dan keberkesanan penyerapan cahaya.
Dari perspektif industri dan pelabur, keupayaan pengusaha ladang untuk menyesuaikan strategi agronomi kepada perubahan iklim memberi impak terus terhadap kestabilan hasil dan daya saing sektor sawit negara.
Dalam era pelaburan berasaskan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), amalan seperti penggunaan bahan organik, penjagaan biodiversiti, serta pengurangan input kimia yang agresif menonjolkan komitmen industri terhadap pertanian mampan.
Penganalisis pasaran turut melihat pelaburan dalam teknologi pemantauan cuaca, sistem amaran awal, dan penyelidikan agronomi sebagai antara komponen penting dalam meningkatkan daya tahan industri sawit Malaysia menghadapi ancaman iklim.
Sehubungan itu, penggiat industri disaran mengambil pendekatan pengurusan kelembapan tanah yang holistik dan berasaskan data, selari dengan tuntutan semasa pasaran dan cabaran perubahan iklim global. - DagangNews.com

Mohd Khairil bin Jamahuri adalah Ahli Agronomi, Bahagian Agronomi Inovasi & Khidmat Pertanian, LKPP Corporation Sendirian Berhad
standard
