
“Mahu hidup susah, mahu mati pun susah.” Itulah luahan Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, Ismail Abdullah, susulan kenaikan kadar caj pengurusan pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) yang berkuat kuasa pada 15 Mei, lalu.
Penstrukturan baharu yang diperkenalkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama Bahagian Pengurusan Masjid dan Tanah Perkuburan menyaksikan kenaikan caj yang amat tinggi.
Sebagai contoh, kadar pengurusan pengkebumian bagi warganegara dewasa yang merupakan anak kariah meningkat daripada RM300 kepada RM800, manakala bagi luar kariah mencecah RM1,600. Jumlah ini belum termasuk kos memandikan jenazah dan perkhidmatan van jenazah.
Kenaikan sehingga 166 peratus disifatkan terlalu tinggi dan membebankan, khususnya kepada golongan B40, asnaf serta keluarga berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan.
Sebagai kemudahan awam yang diuruskan oleh agensi kerajaan, TPIRS sepatutnya berfungsi sebagai institusi kebajikan dan perkhidmatan sosial, bukannya memberi gambaran seolah-olah berorientasikan keuntungan.
Kesan kenaikan ini turut dirasai oleh tabung khairat kematian di peringkat komuniti. Jika kadar baharu dikekalkan, banyak khairat kematian berdepan risiko kekurangan dana dan mungkin terpaksa menaikkan yuran tahunan kepada ahli. Langkah itu sudah tentu menambah beban penduduk yang kini berdepan peningkatan kos sara hidup.
Sehubungan itu, JAWI dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), yang mengurus kutipan zakat yang besar setiap tahun, disaran mempertimbangkan semula kadar caj tersebut.
Kenaikan daripada RM300 kepada RM400 mungkin masih boleh difahami, namun peningkatan sehingga RM800 sukar diterima oleh kebanyakan rakyat.
Pengurusan kematian adalah sebahagian daripada tuntutan fardu kifayah yang seharusnya dipermudah, bukannya menjadi beban kepada waris.
Semangat Rahmatan Lil Alamin dan aspirasi Kerajaan Madani wajar diterjemahkan melalui pengurusan kematian yang lebih berpatutan, prihatin dan mesra rakyat.
Kos pengurusan pengkebumian yang munasabah bukan sahaja meringankan beban keluarga, malah mencerminkan nilai ihsan Islam serta mampu menjadi antara pendekatan dakwah yang memperlihatkan keindahan agama kepada masyarakat bukan Islam.
Justeru, kadar caj pengurusan pengkebumian di TPIRS wajar disemak semula agar lebih berpatutan dan mampu ditanggung oleh seluruh warga Wilayah Persekutuan. – UTUSAN
AHMAD ASRI TALIB
Naib Pengerusi,
Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan
The post Pengurusan kematian jangan membebankan rakyat appeared first on Utusan Malaysia.
