Pengurusan kes rayuan Isa Samad bagi kes rasuah pada 8 September

27 Jul 2022 • 7:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Mahkamah Rayuan menetapkan 8 September ini untuk pengurusan kes berhubung rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Tan Chai Wei ketika pengurusan kes secara dalam talian pada Rabu.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz semasa dihubungi berkata, pengurusan kes selanjutnya itu ditetapkan kerana rekod rayuan belum siap.

Pada 3 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 72, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021. - Bernama