Pengurusan kes saman 10 ADUN Negeri Sembilan petang esok

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 4:34 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengurusan kes saman 10 ADUN Negeri Sembilan petang esok

SEREMBAN – Pengurusan kes saman pemula membabitkan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan yang mencabar pembatalan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini esok.

Prosiding itu dijadualkan bermula pada pukul 4.30 petang menerusi sidang video di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain.

Saman pemula itu difailkan pada 5 Oktober lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai responden.

Kesemua pemohon memohon mahkamah mengisytiharkan pembatalan pelantikan mereka sebagai Exco yang diwartakan pada 24 September lalu sebagai batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa.

Mereka ialah Datuk Mohd. Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd. Asna Amin, Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd. Fairuz Mohd. Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Antara persoalan utama yang dibangkitkan dalam permohonan itu ialah sama ada pelantikan seseorang Exco, selain Menteri Besar, boleh dibatalkan menerusi penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian tanpa nasihat Menteri Besar.

Mereka turut memohon deklarasi bahawa Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) perlu dibaca bersama peruntukan lain yang berkaitan bagi menentukan tatacara pembatalan pelantikan anggota Exco.

Selain itu, pemohon memohon mahkamah mengisytiharkan pembatalan pelantikan yang diwartakan menerusi Warta Kerajaan Negeri Sembilan N.S. P.U. 18 bertarikh 24 September 2026 sebagai batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa terhadap mereka kerana didakwa dibuat tanpa nasihat Menteri Besar. – KOSMO! ONLINE

The post Pengurusan kes saman 10 ADUN Negeri Sembilan petang esok appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved