Pengurusan Pengendalian Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2022 Dalam Situasi Banjir

2 Mar 2023 • 12:50 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk kepada situasi banjir yang melanda beberapa buah negeri di seluruh negara yang turut memberi kesan kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022. Keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat berterusan telah menjejaskan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022.

KPM sentiasa cakna dengan situasi semasa dan siap siaga dengan prosedur operasi standard dan langkah persediaan yang sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM tahun 2022 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur. Pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022 dalam situasi banjir dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001.

Berikutan hujan lebat berterusan pada 1 Mac 2023, sebanyak 17 pusat peperiksaan di negeri Johor, Pahang dan Sarawak telah terjejas. Daripada jumlah ini, sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalanraya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan. Di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan.

Manakala, seramai 431 calon terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan yang berhampiran. KPM melalui Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat dan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan bagi kesemua 431 calon tersebut.

Semua calon peperiksaan SPM tahun 2022 turut dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran. Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara seperti di lampiran. Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri.

KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan akan terus memantau situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun 2022 berlangsung. KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.

 

BILIK GERAKAN LEMBAGA PEPERIKSAAN

DAN JABATAN PENDIDIKAN NEGERI

NEGERI BILIK GERAKAN NOMBOR TELEFON
WP PUTRAJAYA LEMBAGA PEPERIKSAAN 03-8889 3520
03-8889 3601
03-8889 3551
PERAK SPP PERAK 05-501 5170
05-501 5176
05-501 5172
SELANGOR SPP SELANGOR 03-551 86120
PAHANG SPP PAHANG 09-571 5736
KELANTAN SPP KELANTAN 09-744 1411
SABAH SPP SABAH 010-955 6458
JOHOR SPP JOHOR 07-231 0003
KEDAH SPP KEDAH 04-740 4237
04-740 4335
04-740 4247
MELAKA SPP MELAKA 06-232 6467
NEGERI SEMBILAN SPP NEGERI SEMBILAN 06-765 3347
PULAU PINANG SPP PULAU PINANG 04-263 1472
PERLIS SPP PERLIS 04-973 7632
SARAWAK SPP SARAWAK 082-473 507
082-473 519
082-473 520
TERENGGANU SPP TERENGGANU 09-621 3038
WP LABUAN SPP LABUAN 087-468 623
WP PUTRAJAYA SPP PUTRAJAYA 014-337 9793
WP KUALA LUMPUR SPP KUALA LUMPUR 03-6204 6180

Nota:

SPP: Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan