
Pengusaha Bas Nafi Tiket Balik Kelantan Dah Habis, Jualan Belum Dibuka
KOTA BHARU — Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, Syarikat bas, Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) menjelaskan bahawa penjualan tiket pulang ke Kelantan masih belum dibuka.
Memetik Sinar Harian, makluman tersebut sekali gus menidakkan dakwaan mengenai tiket bas pulang ke negeri pantai timur itu ‘licin’ terjual secara atas talian.
Jurucakap E-Mutiara berkata, kebiasaannya jualan akan bermula awal seminggu sebelum ketibaan bulan berkenaan.
Berikutan itu, pihaknya memaklumkan bahawa jualan tiket bagi bulan Ogos masih belum dibuka.
“Kita masih belum membuka jualan tiket untuk bulan Ogos,” ujarnya kepada Sinar Harian hari ini.
Sebelum ini, kecoh dakwaan berkaitan jualan tiket secara dalam talian untuk balik mengundi sudah habis terjual.
Beliau sekaligus turut mengulas dakwaan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman tentang perkara itu.
BACA JUGA: PRN: Tiket Bas Balik Kelantan Habis Terjual
Dalam pada itu, seorang ejen tiket yang mahu disapa sebagai Yati turut memaklumkan tiket perjalanan bagi bulan Ogos belum dibuka lagi.
“Kepada perantau, jangan bimbang. Tiket ada,” katanya.
Enam Negeri Laksanakan Pengundian Serentak
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bakal dijalankan serentak. Tarikh 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri berkenaan pula ditetapkan pada 29 Julai. Manakala pengundian awal pada 8 Ogos depan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR Putrajaya. Mesyuarat itu bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN berkenaan.
Mesyuarat itu juga diadakan susulan penerimaan notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Speaker DUN enam negeri berkenaan.
Sebelum ini Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lepas. Diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai.
Sumber: Sinar Harian
The post Pengusaha Bas Nafi Tiket Balik Kelantan Dah Habis, Jualan Belum Dibuka appeared first on Siakap Keli.


