Pengusaha Bas Perlu Tambahan Kuota Diesel, Peruntukan Sedia Ada Tak Mencukupi

10 Jun 2024 • 8:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kuota diesel diberikan kerajaan hanya mencukupi untuk 10 hingga 15 hari - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kuota diesel yang diberikan kerajaan kepada pengusaha bas dalam pelaksanaan subsidi bersasar berkuatkuasa semalam disifatkan sebagai tidak mencukupi.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, kuota 1,440 liter untuk bas tempatan henti-henti dan 2,880 liter untuk bas ekspres pada harga RM1.88 per liter sebulan sebenarnya masih membebankan.

Menurut beliau, jumlah itu hanya mencukupi untuk 10 hingga 15 hari, bergantung kepada jarak pemanduan.

“Sudahlah kadar tambang tidak pernah naik sejak 2008, kini pengusaha bas terpaksa pula menanggung kesan kenaikan pelbagai jenis kos. 

“Kita bimbang jika kerajaan masih teruskan dengan kuota tersebut akan menyebabkan lebih ramai pengusaha bas gulung tikar, atau terpaksa mengurangkan operasi perjalanan bas,” keluhnya kepada Getaran.

image is not available
Mohamad Ashfar Ali - Gambar Diyana Nawwar

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pelaksanaan subsidi bersasar diesel yang dilakukan kerajaan.

Mohamad Ashfar berkata, PMBOA mencadangkan kerajaan untuk menaikkan kuota kepada 4,000 liter untuk bas tempatan dan 6,000 liter untuk bas ekspres pada harga RM1.50 per liter.

Jelasnya, cadangan itu bukan baharu kerana pihaknya pernah menghantar surat rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada  23 Jun tahun lepas.

“Kita meminta kementerian supaya mempertimbangkan untuk menaikkan kuota diesel, melainkan kerajaan membenarkan kenaikan tambang bas.

“Jika cadangan ini diluluskan, ia dapat membantu mengurangkan beban pengusaha bas yang berdepan dengan kenaikan kos,” katanya sambil menambah, kadar tambang bas adalah di bawah kawalan kerajaan.

Beliau memberitahu, cadangan tersebut bagaimanapun tidak menerima sebarang respon daripada pihak berkaitan.

Semalam, diesel di seluruh negara diapungkan pada harga RM3.35 seliter susulan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api.

Sebelum ini kerajaan berkata, subsidi akan terus disediakan untuk peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel bagi mengawal kenaikan harga barang mendadak.

Ia melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Sepuluh kenderaan pengangkutan itu ialah bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, bas pengantara, bas mini, kereta sewa, teksi, van atau lori mayat, ambulans dan bomba. - Getaran, 10 Jun 2024