
PENGUSAHA sebuah medan selera di Likas sedang mengambil langkah untuk memenuhi peraturan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi memastikan pelanggan dapat menikmati makanan dalam keadaan selamat dan selesa di premis berkenaan.
Jurucakap agensi itu berkata Jabatan Kesihatan Persekitaran (JKP) DBKK dimaklumkan bahawa lurang dan tangki septik di premis terbabit yang terletak di luar Jalan Signal Hill Park telah dibersihkan.
“Kami difahamkan pengusaha sedang dalam proses mendapatkan pensijilan kesihatan yang sewajarnya, manakala pekerja akan menghadiri Kursus Pengendalian Makanan yang diperlukan.
KAKITANGAN DBKK memeriksa dokumen berkaitan pekerja di gerai berkenaan.“Selain itu perangkap minyak telah dipasang di gerai-gerai dan kontraktor kawalan makhluk perosak turut menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa sejak pertengahan Jun,” katanya.
Menurutnya syarikat yang memiliki tanah tempat medan selera itu beroperasi telah menulis surat kepada DBKK bagi memaklumkan perkembangan berkenaan.
“Dalam surat itu kami diminta memberi penerangan kepada penjaja mengenai kaedah terbaik untuk membersihkan dan menyelenggara perangkap minyak bagi mengurangkan kemungkinan paip pembetungan medan selera tersumbat,” ujarnya.
Tindakan itu diambil susulan maklum balas daripada dua pelanggan mengenai tahap kebersihan yang dipersoalkan di medan selera berkenaan.
Pelanggan pertama mendakwa melihat tikus berkeliaran di dalam premis pada dua kejadian berasingan.
Pada kejadian pertama, seekor tikus dilihat berlari di atas rasuk mendatar di bahagian belakang gerai iaitu kawasan makanan disediakan. Kemudian tikus berkenaan dilihat pula di lantai ruang makan berhampiran troli tempat pinggan mangkuk dan kutleri yang telah digunakan diletakkan.
Pelanggan kedua pula membangkitkan mengenai bau kurang menyenangkan yang sesekali menyelubungi medan selera apabila angin bertiup dari arah tertentu.
Pelanggan pertama itu memberikan maklumat terperinci kepada Hotline mengenai apa yang dilihatnya. Maklumat berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
PEGAWAI Kesihatan memeriksa tahap kebersihan di dalam dapur salah sebuah gerai.Jurucakap itu berkata lapan kakitangan agensi berkenaan bersama dua rakan mereka dari Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) pergi ke medan selera tersebut sejurus selepas dihubungi pihak media.
Selain JKP katanya pemeriksaan itu turut membabitkan Jabatan Pelesenan, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kejuruteraan DBKK.
Menurutnya wakil pihak pengurusan medan selera serta syarikat yang memiliki tanah berkenaan turut hadir semasa pemeriksaan itu.
“Pasukan bersama DBKK-JPP mendapati beberapa lubang pemeriksaan di medan selera itu melimpah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya sambil menambah bahawa air kumbahan didapati mengalir masuk ke longkang awam berhampiran.
Katanya hasil perbincangan lanjut mendapati sistem pembetungan medan selera itu berada di bawah tanggungjawab penyelenggaraan pihak pengurusan dan syarikat berkenaan.
Dua kakitangan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQ) DBKK kemudian memeriksa medan selera itu dengan lebih dekat khususnya perangkap minyak yang digunakan di setiap gerai, katanya.
“Tujuh perangkap minyak didapati tidak dipasang mengikut spesifikasi kami, menyebabkan air buangan disalurkan terus ke longkang awam.
“Tiada tikus dikesan di medan selera itu sama ada di atas atau di sekitar gerai,” jelasnya.
Beliau menyatakan itu merupakan kali kedua medan selera berkenaan diperiksa sejak Mei lalu.
Jurucakap itu berkata satu notis penambahbaikan kemudiannya dikeluarkan kepada syarikat berkenaan.
“Pemeriksaan susulan dijalankan kurang sebulan selepas itu dan tahap kebersihan keseluruhan premis didapati memuaskan.
“Bagaimanapun syarikat berkenaan masih belum memenuhi keperluan berkaitan pensijilan kesihatan serta kerja-kerja menaik taraf infrastruktur di medan selera itu,” katanya.
Antara penambahbaikan yang masih belum dilaksanakan menurut jurucakap itu ialah keperluan memasang cerobong pada gerai-gerai serta jubin lantai di dalam premis.
“Kakitangan FSQ akan terus memantau perkembangan di medan selera itu bagi memastikan perkara berkenaan dilaksanakan,” tambahnya.




