Pengusaha pusat beli-belah gesa kerajaan tangani beban kos operasi dan semak semula SST dalam Belanjawan 2026

LocalBusiness & Finance
23 Jul 2025 • 2:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengusaha pusat beli-belah gesa kerajaan tangani beban kos operasi dan semak semula SST dalam Belanjawan 2026

image is not available

23/07/2025 - 14:20

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai - Persatuan Pengurusan Kompleks Beli-Belah Malaysia (PPK Malaysia) sekali lagi menggesa kerajaan untuk menangani isu kenaikan kos operasi dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menjelang pembentangan Belanjawan 2026.

Tinjauan industri 2024–2025 yang dilakukan PPK Malaysia mendapati pengusaha pusat beli-belah masih terpaksa menanggung peningkatan kos akibat tarif elektrik yang lebih tinggi serta caj berkaitan pelesenan dan pematuhan peraturan yang kian meningkat.

PPK Malaysia berkata, beban kos yang semakin tinggi boleh menjejaskan daya saing dan kelestarian sektor hartanah runcit dalam jangka panjang, selain memberi tekanan terhadap kemampuan sewaan dan keupayaan pemilik untuk memulihkan kos operasi bersama daripada penyewa.

“Walaupun cukai SST ke atas sewaan dikenakan kepada penyewa, ia tetap menjejaskan kemampuan sewa dan memberi tekanan tambahan terhadap margin keuntungan serta pemulihan kos oleh pemilik, terutamanya apabila pengendali pusat beli-belah kini sudah pun menyerap sebahagian besar kos operasi,” kata PPK Malaysia dalam satu kenyataan.

Persatuan itu berkata, pengusaha pusat beli-belah juga menghadapi kekangan dalam melaksanakan kenaikan caj perkhidmatan kepada penyewa untuk menampung kos tambahan tersebut.

"Akibatnya, pemilik terpaksa menyerap jurang kos ini, sekali gus melambatkan pemulihan hasil secara keseluruhan dan boleh menjejaskan sentimen pelaburan serta pengalaman pengguna dalam jangka masa panjang," katanya.

Tinjauan edisi ke-12 itu dijalankan dengan kerjasama Stratos Pinnacle Sdn Bhd melalui soal selidik e-mel yang dikendalikan sendiri oleh responden.

Hasil tinjauan mendapati purata kos operasi bulanan pusat beli-belah kini berada dalam julat antara 31 sen hingga RM12.29 satu kaki persegi kawasan boleh disewa bersih, meliputi kos elektrik, air, insurans, pemasaran, cukai tanah, kumbahan dan penyelenggaraan hartanah.

Sebaliknya, kutipan purata caj perkhidmatan dan promosi hanya berada dalam julat 58 sen hingga RM7.13 kaki persegi.

"Ini menunjukkan jurang sebanyak 27% antara perbelanjaan dan caj yang boleh dipulihkan, peningkatan ketara berbanding 13.4% pada tahun 2022 yang membuktikan pemilik kini menanggung sebahagian besar kos operasi, sekali gus menekan margin keuntungan dan pendapatan," katanya.

Hasil kaji selidik itu diperoleh daripada 61 pengendali pusat beli-belah pelbagai saiz dan segmen pasaran.

Pada bulan lalu, persatuan itu mencadangkan pelaksanaan SST secara berperingkat serta menggesa kerajaan mengecualikan caj perkhidmatan daripada pengiraan SST, memandangkan caj tersebut bukan sebahagian daripada pendapatan sewa, sebaliknya digunakan bagi menampung kos operasi kawasan bersama.

Ketika ini, perkhidmatan sewaan dan pajakan komersial dikenakan SST sebanyak 8%, manakala perkhidmatan pembinaan dikenakan kadar 6%. - DagangNews.com

featured standard