
LABUAN: Seorang pengusaha restoran di sini dikenakan kompaun selepas mengenakan caj tambahan RM3 bagi satu hidangan sup yang tidak disenaraikan dalam menu harga yang dipamerkan di premis berkenaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, Junaidah Arbain berkata, tindakan itu diambil susulan aduan pengguna menerusi portal e-Aduan kementerian berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan pada kira-kira 10 pagi mendapati senarai harga yang dipamerkan menyatakan caj tambahan bagi nasi dan mi, namun tidak menyertakan harga sup tambahan.
“Susulan ketidakpatuhan yang dikesan, kompaun dikeluarkan kepada pengusaha berkenaan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga bagi Barang dan Caj bagi Perkhidmatan) 2020, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Junaidah berkata, individu yang disabitkan kesalahan di bawah perintah itu boleh didenda sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.
Beliau mengingatkan pengusaha restoran dan premis makanan supaya mempamerkan menu serta semua caj tambahan secara lengkap, jelas dan mudah dilihat.
Katanya, senarai harga dan caj perlu dinyatakan dalam Bahasa Melayu atau disertakan terjemahan jika dipaparkan dalam bahasa lain, manakala harga hendaklah dinyatakan dalam ringgit atau sen.
Beliau berkata, ketelusan harga penting bagi melindungi hak pengguna kerana pelanggan berhak mengetahui kos barangan dan perkhidmatan sebelum membuat pesanan atau pembelian.
“KPDN Labuan akan terus mempergiat aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan bagi melindungi kepentingan pengguna. Orang ramai juga digalakkan melaporkan ketidakpatuhan peniaga menerusi saluran aduan rasmi kementerian,” katanya.
