Pengusaha restoran janganlah berkira sangat dengan pelanggan

Food
7 Nov 2023 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pengusaha kedai makan kini terpaksa menaikkan harga makanan untuk menampung kos bahan mentah yang meningkat. - Gambar hiasan

RAMAI dalam kalangan rakan Merak Jalanan terutama mereka yang sudah berkeluarga memberitahu mereka lebih cenderung makan di rumah berbanding makan luar.

Sebabnya harga makanan dan minuman yang dijual di restoran atau gerai makan sekarang sudahlah semakin mahal, tetapi saiz hidangan pula semakin mengecil dan ada pula yang rasanya berubah semakin kurang sedap.

Tidak dinafikan, pengusaha kedai makan terpaksa menaikkan harga makanan untuk menampung kos bahan mentah yang meningkat, juga kos operasi seperti sewa kedai dan gaji pekerja.

Cuma baru-baru ini Merak Jalanan ada terbaca satu hantaran pemilik kedai makan di media sosial yang memberitahu terpaksa mengenakan caj berasingan bagi setiap hidangan sampingan seperti sup kosong dan sambal belacan.

Alasannya, dia tidak lagi mampu untuk menyerap kos bagi hidangan sampingan tersebut berikutan harga bahan mentah yang sudah naik.

Tindakannya bagaimanapun mengundang respons orang ramai sehingga ada pelanggan yang memberi komen bahawa harga makanan dijual di kedai makan tersebut sememangnya sudah mahal, jadi tidak masuk akal kalau pemilik kedai masih nak mengenakan caj hidangan sampingan kepada pelanggan.

Merak Jalanan terfikir, adakah dengan mengenakan caj sup kosong dan sambal yang tak berapa sen itu akan membuatkan pemilik restoran itu kaya?

Rasanya tidak, sebaliknya mungkin pelanggan akan lari sebab sudahlah terpaksa bayar mahal, pemilik kedai masih hendak berkira.

Mungkin pemilik restoran perlu mencari idea lain untuk mengatasi masalah kenaikan kos dan bukannya mengurangkan kualiti hidangan yang akhirnya memakan diri apabila pelanggan lari.

Lebih-lebih pengusaha perlu bersaing dengan banyak lagi kedai makan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Nanti nak untung punya pasal, terus gulung tikar!

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved