
KOTA BHARU: Seorang pengusaha serondeng dan seorang pemilik sebuah syarikat pengiklanan, masing-masing didenda RM3,900 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST-02) dalam tempoh ditetapkan.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli mengenakan denda itu terhadap Wan Zairul Izzuan Ariz Wan Zainudin, 30, pengusaha perniagaan serondeng di Kampung Laut, Tumpat dan Mohd Ridzuan Jusoh, 34, pemilik sebuah syarikat pengiklanan di Kota Bharu itu, dalam prosiding berasingan.
Mengikut pertuduhan, Wan Zairul sebagai Orang Kena Saman (OKS) didakwa gagal mengemukakan penyata berkenaan dalam tempoh antara 1 Mac hingga 31 Ogos lepas seperti ditetapkan mengikut Seksyen 26(1) Akta Cukai Jualan 2018.
Mohd Ridzuan juga didakwa gagal berbuat demikian dalam tempoh yang sama.
Kesemua kesalahan dilakukannya di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Jalan Tok Guru, di sini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26(6) ACP 2018 (Akta 807) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKDM Mohd Haswadi Mohamad Nor sementara Wan Zairul Izzuan Ariz tidak diwakili peguam, manakala Mohd Ridzuan pula diwakili oleh peguam Azura Ghazali. - Bernama
