Pengusaha Trak Tunda Kesal Dituduh Salah Guna Subsidi Diesel

19 Jun 2024 • 8:22 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
P Saravenan (kiri) dan Penasihat 1MTCC, Datuk Seri Santhara Kumar pada sidang media - Gambar Diyana Nawwar

KUALA LUMPUR -  Persatuan Trak Tunda Dan Pengangkut Kereta 1 Malaysia (1MTCC) kesal dengan tuduhan kerajaan kononnya sektor perkhidmatan itu antara yang terlibat menyalahguna subsidi diesel.

Mempersoalkan kenyataan itu, Penasihat 1MTCC, P Saravenan berkata, mengapa perkara tersebut tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya benar ia berlaku. 

“Kalau ada kita salah guna, bawalah kami ke muka pengadilan. Mereka sudah tahu dalangnya (jadi) bawa ke muka pengadilan. Gunakanlah undang- undang,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur Golf Country Club (KLGCC).

Menurut beliau, kenaikan caj perkhidmatan berlaku kerana pengangkutan digunakan persatuan itu tidak termasuk dalam 23 jenis kategori kenderaan yang layak memohon subsidi.

“Harga naik kerana kami tidak mendapat subsidi dan pengusaha terpaksa ikut harga di pasaran iaitu RM3.35 sen seliter.

“Jadi kenaikan itu terpaksa sebab bagaimana kami nak caj dengan harga sama, sedangkan pada masa kami menanggung beban kos harga diesel.

“Kami bukan saja kena tanggung kenaikan kos harga diesel bahkan kos lain seperti penyelenggaraan kenderaan,” katanya.

Saravenan berkata, penyelarasan subsidi diesel memaksa persatuan mengenakan kadar minima perkhidmatan sebanyak RM250 berbanding RM150 sebelum ini.

“Sebab itu kita rayu kepada kerajaan berilah kami subsidi, kami bukan syarikat besar dan keuntungan juga tidak seberapa,” katanya.  

Tegas beliau, 1MTCC juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan sekiranya kerajaan masih menafikan hak mereka untuk mendapatkan subsidi diesel.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dipetik sebagai berkata, sektor pembinaan dan syarikat perkhidmatan termasuk penunda kenderaan dikenal pasti antara yang mungkin menyalahguna dua bilion liter diesel bersubsidi tahun lalu.

Ia susulan tindakan pengusaha pembinaan dan kereta tunda mengumumkan kenaikan harga perkhidmatan, sehari selepas kerajaan menguatkuasa penyasaran subsidi bahan api itu. - Getaran, 19 Jun 2024