
LAHAD DATU: Peniaga di Bazar Ramadan, khususnya di daerah ini diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan dan mematuhi etika serta prosedur-prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama, Datuk Mizma Appehdullah berkata, kebersihan dan kualiti makanan perlu menjadi keutamaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Mizma berkata, peniaga juga perlu mematuhi syarat dan prosedur yang tditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan tiada sebarang isu yang timbul sepanjang Bazar Ramadan dibuka.
“Kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) telah memberi peluang kepada peniaga untuk berniaga di tapak-tapak Bazar sempena Ramadan ini.
“Justeru itu, kita berharap agar semua peniaga jujur dan telus seperti tidak menyewakan tapak kepada orang lain, selain sentiasa menjaga kualiti makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pegawai Daerah, Firuz Idzualdeen Mohd Dzul pada cabutan undian lot bazar Ramadan 2025, baru-baru ini.
Mizma turut mengingatkan pengusaha bazar untuk menggaji pekerja yang mempunyai dokumen pengenalan diri serta mematuhi prosedur seperti pemeriksaan kesihatan dan lain-lain.
Selain itu, Mizma juga berharap agar peniaga menetapkan harga yang berpatutan untuk jualan mereka.
Tahun ini, sebanyak lima tapak bazar sempena Ramadan dibuka antaranya di I-Peak Business Centre, Fajar Centre, Perdana Square, Kampung Muhibbah dan Jalan Kemuning.


