
JOHOR BAHRU: Seorang peniaga hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 103,780 gram (g) atau 103.78 kilogram (kg), enam tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Avinder Singh Gill Ranjit Singh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Syed Faisal Yahya, 70, di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati tiada keterangan mencukupi yang menunjukkan tertuduh mempunyai milikan, kawalan atau pengetahuan terhadap dadah yang dirampas.
“Mahkamah turut mengambil kira bahawa tertuduh ditahan di lokasi berasingan dan tiada keterangan mencukupi untuk mengaitkannya dengan kawalan atau pemilikan dadah berkenaan.
“Justeru, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh,” katanya.
Mengikut fakta kes, Syed Faisal ditahan bersama anak perempuannya, Sharifah Fadilah dan menantunya, Razali Othman pada 1 Oktober 2020 berkaitan kes pengedaran dadah.
Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sebuah rumah di Jalan Belibis, Taman Perling, di sini menemukan sebuah beg mengandungi enam bungkusan disyaki kanabis dalam stor kediaman pasangan suami isteri terbabit.
Susulan rampasan dadah seberat 103.78kg itu, polis turut menahan Syed Faisal yang ketika itu menjalankan perniagaan ikan dan kedai makan di Gelang Patah, di sini.
Pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kes yang bermula pada 2022 itu menyaksikan sembilan saksi pendakwaan dipanggil sebelum mahkamah membuat keputusan terhadap Syed Faisal yang diwakili peguam Lydiana Mansor.
Sementara itu, Razali meninggal dunia ketika dalam tahanan reman manakala Sharifah Fadilah diperintahkan membela diri selepas mahkamah mendapati wujud kes prima facie terhadapnya. – UTUSAN
The post Peniaga bebas tuduhan edar 103.78kg kanabis appeared first on Utusan Malaysia.
