
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Ramadan merupakan penghulu segala bulan yang sering dinanti-nantikan oleh umat Islam untuk memperbanyakkan ibadah termasuk berpuasa.
Bukan sahaja seronok melakukan ibadah puasa bahkan kemuliaan Ramadan ini turut disambut dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda untuk setiap kebaikan dan amalan yang dilakukan.
Namun tak dinafikan ada juga segelintir yang enggan melakukannya walhal tahu hukumnya wajib bagi mereka yang berkemampuan dari segi kesihatan, mental dan fizikal.
Malah apa yang lebih teruk ada yang sanggup menjadi ‘geng plastik hitam’ dengan membeli makanan kerana tidak mahu melakukan ibadah tersebut.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Tegur ‘Geng Plastik Hitam’, Muslim Makan Di Tempat Terbuka Ketika Ramadan Boleh Dipenjara [Video]
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Penguat Kuasa Serbu Restoran, Lelaki Lari Lintang Pukang Bawa Plastik Hitam [Video]
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Jijik! Peniaga Sorok Lauk & Nasi Untuk Kaki Ponteng Puasa Dalam Tandas [Video]
Peniaga jual makanan dinasihatkan tak jual makanan kepada orang yang sengaja tak berpuasa
Baru-baru ini Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim mengingatkan semua peniaga muslim yang menjual makanan untuk tidak bersubahat menjual makanan kepada individu yang sengaja tak berpuasa sepanjang bulan Ramadan.
Ujarnya fenomena orang yang membeli makanan dengan menggunakan plastik hitam di siang hari pada setiap Ramadan bukan satu perkara baharu bahkan ia berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang.
Jelas Zamri Hashim, ibadah puasa merupakan perkara yang tak boleh dipaksa ekoran ia membabitkan soal dalaman seseorang individu.
Akan tetapi setiap masyarakat ada tanggungjawab untuk memberi teguran serta menasihati jika terlihat perbuatan yang boleh mencemarkan kesucian Ramadan.
“Perkara ini berlaku setiap tahun dan ia melibatkan iman seseorang. Kita tak boleh memaksa perkara dalaman, tetapi kita mohon penglibatan masyarakat supaya memberi nasihat atau melaporkan perkara ini.
“Yang paling utama, saya mohon sangat kepada peniaga-peniaga kita. Walaupun mereka buka pada waktu pagi atau tengah hari, sekiranya menjual kepada mereka yang memang tidak boleh berpuasa seperti kanak-kanak kecil, itu dibenarkan,” jelasnya, lapor Sinar Harian.
Jual makanan kepada orang tak berpuasa dikira bersubahat dan menanggung dosa
Tegas Timbalan Mufti Perak itu lagi, peniaga yang menjual makanan kepada orang yang sengaja tidak berpuasa juga telah bersubahat dan menanggung dosa.
“Sekiranya kita menjual kepada mereka yang sengaja tidak berpuasa, kita sudah bersubahat dan kita sudah berdosa. Sebab itu kita harapkan perkara ini dapat dikurangkan.
“Mungkin sukar untuk mengatakan ia tidak akan berlaku langsung, tetapi harapan kita supaya ia semakin berkurang.”
Beliau dalam masa sama, turut menyeru seluruh umat Islam untuk peka serta bertanggungjawab untuk memelihara kesucian Ramadan sebagai salah satu rukun Islam.
Peniaga jual makanan kepada orang sengaja tak berpuasa boleh dikenakan tindakan
Memetik laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan peniaga yang menjual makanan dan minuman pada waktu siang bulan Ramadan dengan tujuan makan serta-merta pada waktu tersebut dianggap tidak menghormati bulan Ramadan.
Malah mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] yang memperuntukkan bahawa:
- Menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu atau
- Secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya
Selain itu, mereka yang disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Bukan hanya itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menjelaskan haram hukumnya untuk menjual makanan pada waktu siang bulan Ramadan dengan tujuan untuk memberi kepada orang yang tidak berpuasa, bukan disebabkan suatu keuzuran dan dimakan serta-merta, seperti mana yang termaktub di dalam akta. Namun apabila sudah termeterai akad, maka sahlah jual beli itu berserta dengan dosa.
Namun dikecualikan daripada kes tersebut kepada orang-orang yang mendapat uzur Syarie seperti:
- Wanita haid
- Orang sakit
- Kanak-kanak
- Orang tua yang sudah tidak mampu untuk berpuasa.
