Peniaga dalam talian mengaku tidak bersalah perdaya lelaki libatkan kerugian RM201,000

30 Aug 2022 • 6:24 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PASIR MAS: Seorang peniaga dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 10 pertuduhan memperdaya seorang peniaga lain sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM201,000 antara Mei dan September, tahun lepas.

Mazlan Ahmad, 29, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut kesemua pertuduhan, Mazlan didakwa memperdaya Syed Syarif Syed Abdullah, 23, yang juga peniaga dalam talian dengan menyamar sebagai 'Tengku Dani Shah' dan mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM201,000 menerusi akaun milik Mohd Razalan Ishak, 36.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang melalui akaun Hong Leong Bank dan Maybank antara 31 Mei dan 2 Sept 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Mohd Bakri manakala tertuduh diwakili peguam Wan Mohd Ikram Wan Ibrahim.

Terdahulu, Nur Akmal memohon jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhanan kerana dibimbangi tertuduh akan melarikan diri sekiranya jaminan rendah dikenakan.

Wan Mohd Ikram, bagaimanapun memohon jaminan paling minimum memandangkan anak guamnya memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menyara ibu bapanya.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi kesemua pertuduhan dengan empat penjamin dan menetapkan 28 Sept sebagai tarikh sebutan semula kes.-Bernama