Peniaga IKS disaran ambil peluang pelbagaikan produk berasaskan durian - UPM

LocalFood
19 Jun 2023 • 10:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peniaga IKS disaran ambil peluang pelbagaikan produk berasaskan durian - UPM

zulfadli

19/06/2023 - 10:50

KUALA LUMPUR 19 Jun - Limpahan durian atau lebih dikenali sebagai 'Raja Buah' di pasaran tempatan yang telah menstabilkan harga durian sedikit sebanyak melegakan peminatnya untuk menikmati keenakan rasanya.

Pegawai Pertanian Kanan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia, Mahani Amat @ Halimi berkata, ia juga merupakan peluang kepada pengusaha produk hiliran atau industri kecil dan sederhana (IKS) memproses durian untuk dijadikan pelbagai produk berasaskan buah tersebut.

Beliau berkata, antara produk yang boleh dihasilkan adalah pes durian, dodol durian, lempuk, ais krim, kuih-muih, tempoyak, serbuk durian dan lain-lain.

Katanya, pes durian dan tempoyak adalah produk hiliran yang boleh disimpan dan dijaga keawetannya untuk lebih lama dengan kaedah penyimpanan yang betul.

"Perkara utama adalah memilih durian yang matang dan masih elok, tidak masam atau tidak rosak. Ini bagi memastikan kualiti pes atau tempoyak yang dihasilkan sentiasa terjaga dan memberikan rasa yang enak seperti durian segar.

"Hindari memilih durian yang terlalu matang atau terlalu mentah dan elakkan menggunakan durian yang telah rosak. Pisahkan isi durian dengan biji durian dan diletakkan isi durian di dalam bekas yang bersih.

"Pastikan bekas tersebut benar-benar bersih bagi memastikan kualiti isi durian yang akan dibekukan terjaga. Pastikan juga isi durian tidak bercampur dengan air agar isi durian kekal segar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahani berkata, pes durian dapat membekalkan sumber nutrisi seperti vitamin C, vitamin B, serat, zat besi, kalium, kalsium dan sumber tenaga karbohidrat," katanya.

Beliau berkata, sedikit kelainan apabila pes durian ini dijadikan menu masakan ‘durian goreng’.

Dalam pada itu, beliau berkata, tempoyak durian sangat popular di Malaysia untuk digunakan dalam masakan seperti ikan patin masak tempoyak, gulai tempoyak, sambal tempoyak dan banyak lagi.

Katanya, keunikan rasa dan aroma tempoyak yang unik seperti ada rasa masam, masin, aroma yang tempoyak durian yang kuat dan tajam juga memberikan pengalaman rasa yang unik.

"Meskipun, tempoyak durian memberikan rasa yang enak, namun, perlu diingat, individu yang mempunyai masalah pencernaan tertentu perlu sentiasa berhati-hati apabila menikmati makanan yang berasaskan tempoyak durian bagi mengelakkan kemudaratan," katanya.

Tambah beliau, selain idea-idea ini, kombinasi dan inovasi sendiri dalam mengolah durian untuk menjadi produk-produk baharu lain yang lebih menarik harus ditingkatkan dari semasa ke semasa.

"Ini bagi memastikan adanya kepelbagaian produk yang dihasilkan seiring dengan penghasilan buah durian yang banyak.

"Ia dapat membantu mengelakkan berlakunya lambakan buah durian yang akhirnya rosak dibuang begitu sahaja jika tiada kepelbagaian produk hiliran berjaya dihasilkan," katanya. - DagangNews.com