Peniaga kecil mahu kerajaan turunkan harga barang

2 Oct 2023 • 7:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kenaikan harga barang menyebabkan golongan peniaga tertekan dengan kos barangan yang semakin mahal sekali gus menjejaskan perniagaan mereka. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Che Hayanayazi, Hanina

KEPALA BATAS - Golongan peniaga mengakui tertekan dengan kos barangan yang semakin mahal sejak kebelakangan ini hingga menyebabkan perniagaan mereka terkesan.

Peniaga nasi lemak, Che Hayanayazi Abu Bakar berkata, kenaikan harga bukan saja berlaku terhadap satu atau dua jenis barang, malah hampir kebanyakan barang keperluan.

Menurutnya, perkara ini perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam pembentangan bajet akan datang termasuk mencari jalan terbaik untuk membantu golongan peniaga kecil sepertinya.

“Memang terasa sangat dengan kenaikan harga barang sejak kebelakangan ini. Kami peniaga kecil sahaja, nak dapat untung sehari pun berapalah sangat.

“Jika saya naikkan harga makanan, pelanggan tidak boleh terima tetapi jika harga kekal pula apa yang akan saya dapat,” katanya.

Bagi peniaga minuman, Hanina Osman, 37, hanya mengharapkan kerajaan dapat mengawal harga barangan agar tidak terus naik hingga membebankan bukan sahaja golongan peniaga tetapi rakyat biasa.

Jelasnya, sekiranya harga barangan dan kos sara hidup semakin tinggi menyebabkan orang ramai tidak mahu untuk berbelanja di luar dan akhirnya akan memberi kesan kepada peniaga.