
SHAH ALAM: Seorang peniaga kedai kain menangis teresak-esak, selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 29.9 kilogram, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan demikian, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Syamil Taufik @ Zainal Abidin, 31, di akhir kes pembelaan.
Sejurus keputusan dibacakan, Syamil yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan menangis teresak-esak sebelum keluar dari bilik mahkamah bersama ahli keluarganya.
Hakim Ab Karim dalam penghakimannya berkata selepas menilai keseluruhan keterangan saksi, mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah dan pihak pendakwaan juga gagal mengemukakan seorang lagi saksi iaitu abang kepada tertuduh, Syariman untuk memberi keterangan dalam kes itu.
“Dalam kes ini, tertuduh diberi dua beg oleh Syariman untuk dihantar kepada pekerja Syariman di Petaling Jaya. Setibanya di lokasi, seorang lelaki yang tidak dikenali mengetuk cermin dan memberitahu mahu mengambil beg berkenaan.
“Tertuduh menghubungi Syariman dan abangnya itu menyuruh tertuduh memberikan beg tersebut kepada lelaki itu sebelum ditahan sepasukan polis. Pegawai polis telah merakam percakapan Syariman, namun tiada siasatan lanjut dilakukan berkenaan apa yang dikatakan Syariman,” kata hakim itu.
Hakim itu berkata Syariman merupakan saksi material, jadi bukan tugas pembelaan untuk memanggilnya, sebaliknya ia adalah tugas pihak pendakwaan.
“Mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini, maka tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dihadapinya,” katanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Zaleha Al-Hayat.
Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula Julai lepas.
Syamil didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 2,9997.9 gram (29.9 kilogram) di tempat letak kereta berhadapan 1977 New Ipoh Chicken Rice, Jalan Gasing 10/1 Petaling Jaya di Selangor lebih kurang 8.45 malam, 12 Jan 2020.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.-Bernama
