Peniaga rugi RM882,920 ditipu sindiket 'phone scam'

LocalPolitics
7 May 2026 • 9:16 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peniaga rugi RM882,920 ditipu sindiket 'phone scam'
Seorang peniaga berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM882,920 lesap diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon. Gambar kecil: Azli

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM882,920 lesap diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai pihak insurans dan pegawai polis.

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa lelaki berusia awal 50-an itu menyedari dirinya ditipu sebelum bertindak membuat laporan polis pada Rabu.

​Menurutnya, kejadian bermula pada 23 Mac lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang individu tidak dikenali yang mendakwa daripada pihak Etika Takaful.

​"Individu berkenaan mendakwa nama mangsa telah digunakan untuk membuat tuntutan di Hospital KPJ sebanyak tiga kali. Walaupun mangsa menafikannya, dia diminta untuk membuat laporan secara dalam talian.

​"Talian kemudiannya disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis. Mangsa kemudian dimaklumkan bahawa namanya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan rasuah selepas 'semakan' dibuat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

​Azli berkata, bagi tujuan 'siasatan' dan membersihkan namanya, mangsa diarahkan memindahkan semua wang simpanannya ke sebuah akaun bank dan akaun bank asal miliknya yang baharu dibuka atas arahan suspek.

​"Mangsa yang percaya kemudiannya memindahkan wang simpanan daripada akaun ASB, Amanah Saham Wawasan (ASW), Bank Rakyat dan Tabung Haji berjumlah RM883,000 ke dalam dua akaun peribadi tersebut.

​"Suspek turut meminta maklumat perbankan internet mangsa dan mengarahkan mangsa supaya tidak melakukan sebarang transaksi atau semakan baki sehingga siasatan selesai bagi memastikan sumber wang tersebut bukan dari saluran haram," jelas beliau.

​Bagaimanapun, katanya, mangsa mula merasa curiga selepas sering diminta membuat tambahan kemasukan wang lalu bertindak melakukan semakan baki di kedua-dua bank berkenaan.

​"Hasil semakan mendapati wang dalam akaun BSN miliknya berkurang sebanyak RM155,950, manakala baki dalam akaun RHB pula merosot sebanyak RM726,970.

​"Siasatan mendapati terdapat beberapa transaksi pindahan wang dibuat secara berperingkat ke akaun pihak ketiga antara 29 Mac hingga 4 Mei lalu tanpa pengetahuan mangsa," katanya.

​Tambah beliau, mangsa juga mendakwa telah dihubungi oleh lima nombor berbeza sepanjang urusan tersebut dilakukan.

"​Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

​"Orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan panggilan daripada individu yang mendakwa daripada agensi kerajaan atau institusi kewangan dan tidak sewenang-wenangnya menyerahkan maklumat perbankan kepada pihak ketiga," katanya.