Penilaian pentadbiran Anwar

LocalPolitics
2 Dec 2023 • 11:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kerajaan akan melaksanakan program subsidi bersasar RON95 pada 2024. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Rafizi Ramli)

WALAUPUN sudah genap setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, masih ada beberapa pihak menyatakan prestasi kerajaan kurang memuaskan terutama dari segi ekonomi.

Minggu lalu, kaji selidik Merdeka Center mendedahkan rating penerimaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menurun, malah menurut bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kerajaan tidak dapat memenuhi perubahan yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya.

Dengan nilai ringgit semakin merosot, harga barang keperluan asas yang semakin melambung dan ketidakstabilan rantaian bekalan, tidak hairanlah rakyat merasai beban ekonomi.

Terdapat usaha daripada kerajaan untuk menstrukturkan semula ekonomi sepanjang setahun itu, antaranya penambahan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus, pengenalan cukai baharu seperti cukai barangan mewah dan cukai keuntungan modal serta subsidi bersasar elektrik.

Bagaimanapun, itu semua adalah low hanging fruit. Isu struktur ekonomi yang utama masih tidak ditangani atau diperbaiki. Isu ekonomi yang hangat dibincangkan adalah rasionalisasi subsidi yang bermaksud pengurangan subsidi bahan api terutama petrol dan subsidi makanan.

Perdana Menteri telah mengumumkan penghapusan subsidi elektrik untuk golongan T20 dan kawalan harga ayam serta telur telah dilepaskan tetapi pelan jangka masa panjang bagi mengurangkan subsidi petrol masih belum diumumkan.

Subsidi petrol yang dijangka mencecah RM28 bilion setahun adalah antara perbelanjaan terbesar kerajaan. Tidak munasabah untuk sebuah negara berpendapatan sederhana-atas memberikan subsidi menyeluruh bersifat mundur.

Semasa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ditemu ramah, beliau menyatakan kerajaan akan melaksanakan subsidi petrol bersasar ke atas petrol dan diesel tahun depan tetapi sehingga November, rakyat masih belum dimaklumkan pelan terperinci untuk pelaksanaan subsidi bersasar bahan api.

Sebenarnya kumpulan gelandangan dan miskin tegar tidak mampu memiliki kenderaan. Ia menimbulkan persoalan adakah sistem bersasar berkesan dan adakah kumpulan paling terpinggir tergolong dalam subsidi itu? Bagaimana subsidi petrol membantu golongan B1?

Universiti Utara Malaysia (UUM) menerbitkan satu kajian pada 2018 yang menyatakan kos subsidi bahan api perlu ditampung kerajaan bagi menjaga kebajikan golongan berpendapatan rendah amat tinggi kerana ketirisan subsidi kepada golongan berpendapatan tinggi amat besar.

Kajian itu bukti bahawa subsidi petrol lebih memanfaatkan M40 dan T20 tetapi jika subsidi itu dihapuskan serta-merta, akan timbul tindak balas politik yang hebat seperti berlaku pada 2008 – era Tun Abdullah Ahmad Badawi – harga petrol naik mendadak 41 peratus.

Usaha kerajaan mengurangkan subsidi bahan api perlu dilaksanakan serta-merta kerana usaha merealisasikan subsidi bersasar telah mengambil masa terlalu panjang. Langkah lebih cekap adalah mengurangkan subsidi bahan api secara berfasa dalam tempoh empat tahun seterusnya tanpa sasaran mana-mana kumpulan.

Seterusnya, kerajaan patut menambah perjanjian perdagangan dengan negara lain dan terakhir, kerajaan perlu menjelaskan pelan jangka masa panjang bagi memperluaskan jaringan cukai.

Sekadar meningkatkan kadar cukai golongan berpendapatan tinggi dan program pengakuan secara sukarela tidak cukup untuk mengubah struktur cukai. Cukai seperti cukai harta pusaka dan cukai ‘kekayaan yang tidak dapat dijelaskan’ (unexplained wealth tax) di United Kingdom patut diperkenalkan.

Satu lagi cukai lama yang lebih berkesan ialah cukai barang dan perkhidmatan (GST). Ia merupakan cukai lebih progresif berbanding SST. Saya mengesyorkan pelaksanaan GST tetapi sebelum itu kerajaan patut memperkemas dan mengukuhkan sistem cukai tersebut, tingkatkan ke-telusan cukai serta menyediakan penilaian risiko pematuhan cukai.

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat