Penilaian Pesawat MRCA TUDM Hanya Akan Dilakukan Sekitar 2030

LocalPolitics
13 May 2026 • 2:03 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Projek pemilihan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) sudah sedekad tertangguh dengan pesawat MIG-29 telah dibersarakan daripada inventori Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tanpa pesawat pengganti. Pembelian pesawat Boeing F/A-18D Hornet daripada Kuwait yang diuar-uarkan sebelum ini ditangguhkan Februari tahun ini kerana usia pesawat sudah uzur serta tempoh masa penghantaran yang tidak menentu kerana Kuwait sendiri mengalami kelewatan menerima pesawat ganti Lockheed Martin F-35.

Image from: Penilaian Pesawat MRCA TUDM Hanya Akan Dilakukan Sekitar 2030
Sukhoi SU-30MKM TUDM – Carl Brent, Wikimedia Commons

Semalam Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengatakan proses melakukan penilaian pesawat MRCA baharu akan hanya dimulakan pada dekad 2030an. Ini kerana pada waktu tersebut pesawat F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM Flanker-H akan dibersarakan menjelang 2035.

Malaysia akan menerima 18 pesawat KAI T-50 Golden Eagle secara berperingkat bermula akhir tahun ini untuk menggantikan pesawat latihan tempur BAE Hawk yang juga sudah usang. Hawk memasuki inventori TUDM pada tahun pada April 1994. Proses menggantikan Hawk dilakukan di bawah program Pesawat Pejuang Jurulatih/Pesawat Tempur Ringan (FLIT-LCA).

Negara sebelum telahpun dijemput untuk menyertai program TAI-KAAN oleh Turkiye dan KAI KF-21 Boramae Korea Selatan. Kedua-dua pesawat masih lagi baharu dan belum pernah diuji dalam medan tempur moden.

Image from: Penilaian Pesawat MRCA TUDM Hanya Akan Dilakukan Sekitar 2030
Sukhoi SU-57 Felon

Tahun lalu Kementerian Pertahanan mengatakan sedang mempertimbangkan pembelian pesawat tempur generasi kelima Perancis, Amerika Syarikat dan Rusia di bawah program MRCA. Ini bermakna Future Combat Air System (FCAS), Lockheed Martin F-35 Lightning II dan Sukhoi SU-57 Felon memenuhi kriteria yang ditetapkan kementerian pertahanan.

Future Combat Air System (FCAS) masih di peringkat rekaan dengan ia wujud hanya dalam bentuk model olok-olok. Lockheed Martin F-35 Lightning II sukar dibeli kerana Amerika Syarikat menetapkan pelbagai syarat seperti tidak boleh menggunakan kelengkapan telekomunikasi China. Akhir sekali Sukhoi Su-57 Felon pula mendatangkan masalah diplomatik jika dibeli Malaysia kerana Rusia dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat.

View Original Article