
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa hampir 81 peratus daripada semua struktur di Semenanjung Gaza telah rosak, berdasarkan penilaian satelit terbaharu yang dijalankan di tengah-tengah kemusnahan besar akibat lebih dua tahun serangan Israel.
Jurucakap PBB, Farhan Haq, memetik laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) bahawa peningkatan berterusan dalam usaha bantuan telah memberi kesan positif kepada penduduk di seluruh Gaza, namun keperluan masih terlalu besar untuk ditampung sepenuhnya. “Banyak lagi yang perlu dilakukan agar kita dapat menangani skala penuh keperluan dan tidak meninggalkan sesiapa pun,” katanya dalam satu sidang media di New York.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di empat buah sekolah, manakala PBB dan rakan pelaksananya telah menyokong pembukaan semula lima ruang pembelajaran sementara di Kota Gaza dalam tempoh tiga hari terakhir.
Berdasarkan analisis Pusat Satelit PBB, kira-kira 81 peratus struktur di seluruh Semenanjung Gaza kini mengalami tahap kerosakan berbeza. Gaza Utara mencatatkan peningkatan terbesar sejak Julai 2025, dengan hampir 5,700 bangunan baharu dikenal pasti rosak. Secara keseluruhan, lebih 123,000 struktur dilaporkan musnah sepenuhnya, 50,000 lagi mengalami kerosakan teruk atau sederhana, dan 24,000 berisiko rosak.
Sejak Oktober 2023, lebih 68,000 rakyat Palestin telah terbunuh akibat serangan udara dan darat Israel di Gaza. Walaupun gencatan senjata diumumkan pada 10 Oktober lalu melalui pelan damai 20 perkara yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Israel dilaporkan terus melanggar perjanjian tersebut beberapa kali.
Sumber: Anadolu Agency


