Penilik nasib didakwa sebabkan kematian warga emas

14 May 2026 • 4:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penilik nasib didakwa sebabkan kematian warga emas
Seorang penilik nasib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang pada Khamis, atas satu pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas di sebuah restoran makanan segera, minggu lalu.

SELAYANG - Seorang penilik nasib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas di sebuah restoran makanan segera, minggu lalu.

Toh Kai Lun, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nor Azlin Othman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Lim Kim Thong, 76, di premis berkenaan di Jalan 54, Desa Jaya Kepong, Gombak antara jam 5.20 hingga 5.40 petang, 5 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian mencadangkan tertuduh diberi ikat jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin.

Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ernie Ahmad yang mewakili Kai Lun merayu anak guamnya memberikan ikat jamin pada kadar minimum.

"Kakaknya hanya mampu menyediakan wang sebanyak RM5,000," katanya.

Selepas mendengar permohonan semua pihak, Nor Azlin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin termasuk syarat tambahan, melaporkan diri sekali setiap bulan, di balai polis berhampiran.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 15 Julai depan.