Peningkatan pelepasan cukai beri peluang M40 nikmati lebihan pendapatan hingga RM1,600 - KPMG

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peningkatan pelepasan cukai beri peluang M40 nikmati lebihan pendapatan hingga RM1,600 - KPMG Image from: Peningkatan pelepasan cukai beri peluang M40 nikmati lebihan pendapatan hingga RM1,600 - KPMG amree12/10/2026 - 10:30 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt — Golongan berpendapatan sederhana atau M40, berpotensi menikmati pendapatan boleh guna tambahan sehingga RM1,600 susulan cadangan peningkatan pelepasan cukai individu dan pengurangan kadar cukai pendapatan dalam Belanjawan 2027.

 

KPMG Malaysia dalam analisisnya berkata, langkah berkenaan boleh memberi manfaat kepada kira-kira lima juta pembayar cukai, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan golongan tersebut yang sering terlepas daripada beberapa bentuk bantuan bersasar.

 

Ketua Cukai KPMG Malaysia, Soh Lian Seng berkata, peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 merupakan langkah praktikal untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, ketika isi rumah terus berdepan tekanan kos sara hidup.

 

"Kelompok M40 berada dalam kedudukan yang mencabar kerana mungkin tidak memenuhi syarat ketat bagi bantuan tertentu daripada kerajaan, sedangkan mereka turut berdepan dengan peningkatan perbelanjaan isi rumah semasa dan kos kehidupan harian," jelas beliau.

 

Pelarasan pelepasan cukai individu itu merupakan semakan pertama sejak 2010, manakala kerajaan turut mencadangkan pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan bagi pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM150,000.

 

LHDN_DagangNews2026

 

Gabungan langkah berkenaan ujar Lian Seng, dijangka memberikan ruang kewangan tambahan kepada pembayar cukai yang layak, namun perlu bergantung pada jumlah pendapatan bercukai mereka, struktur pelepasan dan kadar cukai individu masing-masing.

 

Dalam pada itu jelas beliau, KPMG Malaysia turut melihat pengurangan satu mata peratusan kadar cukai pendapatan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai langkah penting untuk menyokong operasi perniagaan semasa.

 

"Penjimatan cukai tersebut membolehkan syarikat mengekalkan lebih banyak tunai untuk memenuhi keperluan aliran kewangan, membayar gaji pekerja, melaksanakan pendigitalan serta melabur dalam teknologi dan pengembangan perniagaan," katanya.

 

Langkah berkenaan tambah beliau, juga dilihat sebagai relevan ketika PMKS masih lagi berdepan dengan isu peningkatan kos operasi dan pematuhan, yang boleh mengehadkan keupayaan mereka untuk melabur serta mengembangkan perniagaan.

 

Secara keseluruhan, Lian Seng berkata Belanjawan 2027 berusaha mengimbangi bantuan kewangan jangka pendek kepada rakyat dan perniagaan dengan pembaharuan struktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved