Peningkatan pengangguran petunjuk awal cabaran lebih besar negara

LocalBusiness & Finance
12 Jun 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peningkatan pengangguran petunjuk awal cabaran lebih besar negara
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

JABATAN Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran negara kembali meningkat kepada tiga peratus dengan merekodkan 511,800 orang penganggur pada April 2026

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, pasaran buruh negara terus menunjukkan pertumbuhan sederhana pada bulan dikaji, mencerminkan perkembangan ekonomi yang stabil.

Data peningkatan bilangan penganggur aktif dan tidak aktif memberi isyarat bahawa sebahagian rakyat mula berdepan cabaran mendapatkan pekerjaan yang sesuai dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Ketegangan yang berlarutan di Asia Barat bukan sekadar isu keselamatan serantau, malah mempunyai kesan langsung terhadap ekonomi dunia berikutan rantau tersebut merupakan antara pusat utama pengeluaran dan penghantaran minyak global.

Kesan rantaian daripada situasi ini termasuk kos operasi syarikat akibat kenaikan harga bahan api dan logistik, tekanan inflasi yang mengurangkan kuasa beli pengguna, pelabur menjadi lebih berhati-hati untuk mengembangkan operasi atau membuat pelaburan baharu dan permintaan eksport global menjadi perlahan apabila ekonomi utama dunia memperlahankan perbelanjaan.

Satu perkembangan yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan penganggur aktif kepada 407,100 orang iaitu kumpulan ini terdiri daripada individu yang masih aktif mencari pekerjaan dan bersedia untuk bekerja.

Hakikat bahawa hampir 80 peratus daripada keseluruhan penganggur berada dalam kategori ini menunjukkan pasaran pekerjaan masih mempunyai permintaan.

Namun, peningkatan berterusan dalam kumpulan tersebut boleh menjadi petunjuk awal bahawa penciptaan pekerjaan baharu tidak berkembang sepantas pertambahan pencari kerja.

Lebih membimbangkan, bilangan penganggur tidak aktif turut meningkat kepada 104,700 orang. Kumpulan ini terdiri daripada mereka yang mula hilang keyakinan terhadap peluang pekerjaan yang tersedia.

Sekiranya trend ini berterusan, ia boleh mencerminkan segmen pasaran buruh yang semakin lemah.

Kerajaan dan pemain industri perlu memperkukuh daya tahan ekonomi domestik melalui pelaburan baharu, program peningkatan kemahiran pekerja serta mempercepatkan transformasi sektor bernilai tinggi bagi memastikan sebarang kejutan luaran tidak memberi kesan besar kepada pasaran buruh.

Buat masa ini, pasaran buruh negara masih menunjukkan daya tahan.

Namun, sekiranya konflik geopolitik terus berlarutan dan menekan pertumbuhan ekonomi dunia, angka pengangguran yang meningkat pada April mungkin menjadi petunjuk awal kepada cabaran yang lebih besar pada masa akan datang.