Peningkatan trend ‘sexting’ dalam kalangan belia

LocalFamily & Parenting
21 Oct 2025 • 4:56 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Profesor Dr Nur Izura Udzir dari Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi amaran mengenai peningkatan trend ‘sexting’ dalam kalangan belia akibat pengaruh pornografi yang boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental serta perkembangan sosial.

Beliau menjelaskan Sexting dilihat sebagai penyumbang kepada peningkatan jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak kerana ia bukan sekadar perkongsian imej atau mesej berunsur lucah tetapi turut mencerminkan tekanan sosial yang dihadapi remaja.

“Rasa ingin tahu mendorong mereka mencari dan meneroka kandungan seksual dalam talian. Kebosanan juga memainkan peranan apabila remaja mencari sesuatu yang boleh merangsang minat mereka pada masa lapang.

“Di samping itu pengaruh rakan dan keluarga turut menyumbang sama ada menggalakan atau gagal menghalang tingkah laku tersebut,” katanya ketika berucap dalam seminar Jaga Mata Hati Sejahtera yang diadakan pada 27 September lalu.

Mengulas lanjut Nur Izura berkata pendedahan awal kepada pornografi menyebabkan remaja terdedah terlalu awal kepada unsur seksual sebelum memahami batasan sihat dalam hubungan.

Menurutnya penggunaan berterusan kandungan lucah boleh mengaburkan sempadan antara realiti dan fantasi seterusnya memesongkan pemahaman mereka tentang hubungan sebenar dan nilai keintiman.

“Akibatnya mereka membesar dengan jangkaan tidak realistik terhadap hubungan dan pengalaman seksual.

“Pendedahan awal ini boleh memerangkap remaja dalam kitaran berbahaya terutamanya apabila melibatkan interaksi tanpa kawalan di alam maya.

“Platform media sosial dan aplikasi seperti Omegle yang membolehkan pengguna berbual dengan orang tidak dikenali meningkatkan lagi risiko berhadapan dengan bahaya dalam talian,” jelasnya.

Dr Izura turut menekankan ancaman pemangsa siber atau ‘groomers’ yang sering menggunakan sexting sebagai jalan untuk mendekati dan memperdaya mangsa.

Tegas beliau individu tidak bertanggungjawab ini membina kepercayaan dengan remaja melalui perbualan intim sebelum cuba bertemu atau melakukan tingkah laku yang lebih serius.

“Ada yang menyamar sebagai individu tidak berbahaya untuk meraih kepercayaan mangsa dan kemudian mengubah arah perbualan ke topik seksual.

“Sebagai contoh kes remaja perempuan berusia 14 tahun di United Kingdom yang terpedaya dengan seorang lelaki dewasa menyamar sebagai gadis di media sosial — membuktikan betapa mudah remaja dimanipulasi dalam talian hingga membawa kepada jenayah seksual,” ujarnya.

Dr Izura turut mengingatkan bahawa remaja perlu lebih berhati-hati terhadap perkongsian di media sosial kerana maklumat seolah-olah tidak berbahaya seperti gambar dan status boleh digunakan oleh pemangsa untuk membina profil lengkap mereka.

“Pemangsa ini sangat sabar — mereka sanggup mengambil masa bertahun-tahun untuk mengumpul maklumat sebelum melaksanakan manipulasi atau serangan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa akibat sexting boleh melangkaui perbuatan asal terutamanya apabila imej peribadi tersebar ke tangan yang salah.

“Pemangsa boleh menggunakan imej tersebut untuk mengugut atau menjualnya kepada pihak lain di dark web, membuka ruang kepada kegiatan pemerdagangan manusia dan eksploitasi seksual.

“Sekali sesuatu imej tersebar di internet hampir mustahil untuk dipadam sepenuhnya,” tegasnya.

Selain itu beliau turut memberi amaran mengenai teknologi deepfake — teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mencipta video atau imej yang kelihatan benar tetapi sebenarnya palsu.

Ujar beliau teknologi berkenaan boleh digunakan untuk memanipulasi wajah mangsa ke dalam video atau imej berunsur lucah lalu disebarkan dalam talian.

Dr Izura memaklumkan  walaupun teknologi digital membawa banyak manfaat ia juga ibarat pedang dua mata yang boleh memudaratkan jika disalahgunakan.

“Menangani bahaya sexting, ketagihan pornografi dan eksploitasi dalam talian memerlukan usaha bersama yang menyeluruh — meliputi pendidikan, bimbingan rohani, sokongan ibu bapa dan penglibatan komuniti,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved