Penipuan dalam talian menurun drastik kepada 38 peratus

LocalBusiness & Finance
26 Sep 2024 • 1:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Yuen Tuck ketika ditemui media selepas pembentangan RMFLS 2024 di Menara Etiqa pada Khamis. FOTO/ SINAR HARIAN

BANGSAR - Cubaan penipuan kewangan dalam talian tahun ini menurun secara drastik kepada 38 peratus berbanding 94 peratus pada 2023 lalu.

Ia berdasarkan dapatan tinjauan Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2024 yang dibentangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Siew Yuen Tuck.

Menurutnya, 38 peratus iaitu bersamaan lebih satu pertiga rakyat di negara ini dilaporkan mengalami cubaan penipuan dan perkembangan positif itu menunjukkan kempen kesedaran ‘Jangan Kena Scam’ yang digerakkan oleh agensi kerajaan membuahkan hasil.

“Malah, 56 peratus responden memuji kempen kesedaran ini kerana ia membantu mereka mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.

“Walaupun situasi ini bergerak ke arah hala tuju yang betul, banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk melindungi rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pembentangan Tinjauan RMFLS 2024 bertempat di Menara Etiqa, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Pemasaran PayNet Malaysia, Gary Yeoh; Ketua Pegawai Pemasaran FWD, Susan Ong; Pengurus Jangkauan Komuniti dan Acara CTOS, Noor Hazwani Mohamad Noor serta Ketua Kumpulan Pegawai Perbankan Pelanggan Alliance Bank, Gan Pai Li.

Yuen Tuck memaklumkan, tinjauan RMFLS juga mendapati 32 peratus rakyat Malaysia masih kurang cakna tentang tindakan atau individu yang mesti dihubungi apabila berhadapan situasi penyamaran dan pemberitahuan transaksi penipuan.

Menurutnya, ia satu kelemahan berterusan yang wajib ditangani sebaik mungkin terutamanya apabila era digitalisasi kian berkembang.

“Masyarakat pula semakin bijak menggunakan aplikasi digital untuk menguruskan kewangan peribadi mereka.

“Ia kerana 95 peratus responden guna sekurang-kurangnya satu e-dompet. Kebergantungan terhadap media sosial sebagai sumber utama maklumat kewangan juga ketara dengan markah kepercayaan sebanyak 4.0 berbanding 3.7 tahun lalu.

“Justeru, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan tahap celik kewangan digital agar rakyat Malaysia mempunyai sumber yang diperlukan bagi memerangi penipuan,” ujarnya lagi.