Penipuan Jemaah Haji, Jadikan Jenayah Berat Dengan Hukuman Penjara

11 Jul 2022 • 10:46 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Beberapa hari lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA, dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan - Gambar Fail Bernama

KUALA LUMPUR - Kejadian jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini perlu menjadi pengajaran kepada pihak berkuasa untuk memastikan ia tidak berulang.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, penipuan seumpama itu perlu dijadikan sebagai jenayah berat dengan penjara sebagai  hukuman.

"MATA sedar kelulusan Visa Haji Jemputan ini hanya dikeluarkan pada saat-saat akhir. Bagi agensi yang diamanahkan mendapat anugerah visa haji, jangan sekali-kali ia diperdagang sesuka hati.

"Ambil caj perkhidmatan yang berpatutan atas dasar (sabilillah). Pastikan anda sudah terima tawaran yang diamanahkan baru mengundang jemaah," katanya.

Beberapa hari lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA, dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Mengulas lanjut, Mohd Khalid menambah, mereka yang terkandas tersebut telah memasuki perangkap golongan yang dikategorikan sebagai 'scammer'.

Jelasnya, golongan scammer terbabit sudah merancang dari awal lagi untuk menipu, kononnya mempunyai lesen boleh mengurus dan mengendali haji di bawah haji furada.

"Tiada badan yang kawal selia pakej mereka, Yang pasti, pakej haji tidak di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Orang kita mudah ditipu oleh mereka ini walaupun sudah banyak kali dalam siaran akhbar di mana tiada jaminan boleh dapat visa haji bagi pakej furada," katanya. - Getaran, 11 Julai 2022