Penipuan Siber: 3 Rakyat Malaysia Antara 49 Ditahan Di Phnom Penh

23 Mar 2026 • 5:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - TIGA rakyat Malaysia adalah antara 49 individu ditahan dalam operasi polis besar-besaran, menyasarkan sindiket penipuan dalam talian di ibu negara Kemboja.

Menurut laporan, pasukan petugas bersama di bawah Jawatankuasa Pemerintah Bersatu Phnom Penh telah menyerbu sebuah hotel di Khan Sen Sok awal hari ini, susulan arahan daripada Gabenor Phnom Penh, Khuong Sreng.

Operasi itu diketuai oleh Pesuruhjaya Polis Phnom Penh, Choun Narin, di bawah seliaan Timbalan Pendakwa Raya Chhay Hong.

Ia membawa kepada penahanan 49 individu, dengan 46 daripadanya adalah warga asing, termasuk 43 rakyat China. 

Laporan rasmi menyebut, pihak berkuasa merampas 60 komputer, 31 unit pemprosesan pusat, sebuah komputer riba, 687 telefon bimbit dan 46 kad SIM Malaysia semasa operasi tersebut.

Siasatan awal menunjukkan kumpulan terbabit telah menggunakan Kemboja sebagai pangkalan untuk menjalankan operasi penipuan, terutamanya skim "pelaburan palsu" yang menyasarkan mangsa dari Malaysia dan negara lain.

Para pegawai berkata suspek baru-baru ini telah memindahkan aktiviti mereka dari wilayah Thbong Khmum.

Semua suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada polis Phnom Penh untuk siasatan lanjut, termasuk usaha untuk mengenal pasti dan menangkap dalang di sebalik rangkaian terbabit.

Pihak berkuasa juga menggesa pemilik hartanah dan tuan tanah untuk berhati-hati apabila menyewakan premis kepada warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti haram atau jenayah berkaitan siber.

Terdahulu, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet berikrar untuk membasmi operasi penipuan dalam talian menjelang bulan depan.

Katanya, Kemboja bukanlah tempat perlindungan yang selamat untuk penjenayah siber dan mereka yang terlibat berdepqn tindakan undang-undang sepenuhnya. - Getaran, 23 Mac 2026