Penjara Di Rumah Atau Di Kajang, Nasib Najib Ditentukan Januari 

LocalPolitics
24 Nov 2025 • 8:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pada 5 Januari sama ada Datuk Seri Najib Razak layak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah atau perlu terus ditempatkan di Penjara Kajang.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Alice Loke Yee Ching selepas mendengar penghujahan pihak pembelaan serta Jabatan Peguam Negara hari ini, dalam prosiding semakan kehakiman difailkan bekas Perdana Menteri itu.

Najib memohon perintah mahkamah untuk menguatkuasakan titah tambahan (addendum order) yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman di kediamannya di Kuala Lumpur. 

Beliau juga memohon supaya dirinya dipindahkan segera dari Penjara Kajang sekiranya perintah itu disahkan.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berhujah bahawa bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, sepatutnya mengemukakan afidavit bagi membuktikan kesahihan titah tambahan tersebut.

Menurut Shafee, dokumen itu telah diserahkan secara peribadi oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 kepada Ahmad Terrirudin, dan sepatutnya dikuatkuasakan sejak tahun lalu.

Beliau turut mempersoalkan tindakan beberapa individu yang didakwa “tidak mengetahui” tentang kewujudan titah berkenaan namun tampil menafikan ia pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Terdahulu, Najib telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta, yang kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Namun, selepas memfailkan petisyen pengampunan pada 2 September 2022, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan kepada RM50 juta. - Getaran, 24 November 2024