
KOTA BHARU: Jabatan Penjara Kelantan dengan kerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) cawangan negeri telah mengambil inisiatif melatih banduan untuk menjadi penoreh getah di bawah Program Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan parol.
Pengarahnya Mat Yaakob berkata di bawah program itu, 93 prospek (banduan) dari Pusat Pemulihan Akhlak Machang ‘dibebaskan’ untuk bekerja sebagai penoreh getah di ladang-ladang sekitar Kuala Krai, Tanah Merah serta Gua Musang, semalam.
“Banduan-banduan itu berada di bawah syarikat Pembekal Perkhidmatan Korporat, dan usaha terbaharu ini dilaksanakan dengan kerjasama LGM Kelantan,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Penjara ke-234 Peringkat Penjara Negeri Kelantan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Beliau berkata di bawah pelbagai program yang dilaksanakan Jabatan Penjara, 99.9 peratus banduan di Kelantan mendapat pekerjaan sebaik sahaja mereka dibebaskan.
“PBSL terbukti membantu banduan hidup lebih baik dalam masyarakat, di Kelantan hanya 0.24 peratus banduan kembali semula ke penjara,“ katanya.
Terdahulu pada majlis itu, Penolong Kanan Komisioner Kamarulzaman Ismail dilantik sebagai Pengarah Penjara Pengkalan Chepa menggantikan Penguasa Penjara Mohamad Saizi Ibrahim. -Bernama

