Penjara sesak, KPI tangkap penagih di Kelantan tetap jalan

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 2:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penjara sesak, KPI tangkap penagih di Kelantan tetap jalan
Mohamad Rosidek (dua,kiri) menandatangani plak sumbangan dan penyerahan perpustakaan pada Majlis Perasmian Penutupan Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2026 dengan kerjasama Boustead Holdings Berhad, Royale Chulan Damansara dan SMO Bookstoresdi Blok Wanita, Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Isnin. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Kesesakan Penjara Pengkalan Chepa tidak halang Polis Kelantan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) menangkap seorang penagih dadah setiap hari.

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, pihaknya mengakui keadaan itu masih mampu diuruskan menerusi pelbagai pendekatan termasuk penjara satelit dan program reintegrasi.

Menurut beliau, pelaksanaan sasaran tangkapan penagih oleh Polis Kelantan merupakan tanggungjawab pasukan keselamatan dan tidak seharusnya dilihat dari sudut kapasiti penjara semata-mata.

"Polis mempunyai KPI tersendiri dalam aspek keselamatan awam, manakala Jabatan Penjara pula mempunyai mekanisme bagi memastikan keselamatan dan pengurusan penghuni terus terjamin.

"Polis ada KPI dia, kami ada KPI kami. Meskipun Penjara Pengkalan Chepa berdepan kesesakan, keadaan itu masih terkawal dan boleh diuruskan.

"Kita ada program reintegrasi penghuni, maknanya kita bawa penghuni untuk kerja di luar, dalam komuniti dan sebagainya," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2026 dengan kerjasama Boustead Holdings Berhad, Royale Chulan Damansara dan SMO Bookstores di Blok Wanita, Penjara Pengkalan Chepa di sini.

Terdahulu media melaporkan Polis Kelantan mewajibkan semua 56 ketua balai polis di seluruh negeri menangkap seorang penagih dadah setiap hari.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat pendekatan yang mula dilaksanakan pada 15 Julai lalu itu merupakan pelan strategik baharu bagi memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Mengulas kebimbangan bahawa peningkatan tangkapan berkaitan dadah boleh menambahkan lagi tekanan terhadap kapasiti penjara, Mohamad Rosidek berkata, tindakan penguatkuasaan itu tidak boleh dihentikan hanya kerana penjara berdepan isu kesesakan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved