Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta penjawat awam supaya mempertahankan pembangunan Kota MADANI, sebuah projek perumahan berskala besar yang dirancang khusus untuk manfaat mereka, walaupun berdepan kritikan politik.
Menurut beliau, pembangunan tersebut bukan hanya menyediakan kediaman, malah menawarkan pelbagai kemudahan moden yang dirancang secara menyeluruh berasaskan nilai Malaysia MADANI tanpa membebankan kewangan negara.
“Baru-baru ini kita luncurkan Kota MADANI dan seperti biasa semua isu itu jadi bahan hentaman politik. Saya tak kisah, tapi kita tahu mengenai masalah perumahan penjawat awam.
“Sebab itu bagi penjawat awam, perhatikan faktor ini dan pertahankan konsep ini. Ramai yang tidak senang… entah dia mewakili kontraktor ataupun yang lain-lain, tapi saya tidak faham mengapa tidak boleh dukung pembangunan untuk penjawat awam,” katanya.
Anwar menegaskan, projek Kota MADANI merupakan pendekatan strategik kerajaan untuk menyelesaikan isu penjawat awam yang masih belum memiliki rumah sendiri dan menunggu giliran mendapatkan kediaman.
“Ini bukan projek biasa yang sekadar sediakan rumah. Kita beri satu keselesaan luar biasa – sekolah, masjid, gimnasium, taman permainan – semua diambil kira. Ia satu kota moden berkonsep MADANI,” ujarnya.
Dalam masa sama, kerajaan turut memberi tumpuan terhadap baik pulih kuarters penjawat awam yang rosak, di mana hampir 98 peratus daripadanya telah dibaik pulih dan kini dihuni semula.
“Kita tahu itu belum cukup kerana masih ada ribuan lagi menunggu. Jadi, jangan benarkan usaha baik ini dijadikan bahan politik murahan. Ini hak penjawat awam yang berkorban demi negara,” tegas beliau.
Sumber: Berita Harian
The post Penjawat awam diminta pertahan Kota Madani appeared first on The Reporter.



