Penjawat awam disyaki terima rasuah bawa masuk barang terlarang ke pusat pemulihan dadah

LocalPolitics
2 Mar 2026 • 11:57 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek wanita dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi permohonan reman pada Isnin. FOTO: SPRM
image is not available
Suspek wanita dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Isnin bagi permohonan reman. FOTO: SPRM

​KUALA TERENGGANU - Seorang penjawat awam wanita sebuah pusat pemulihan dadah di negeri ini direman selama enam hari bermula Isnin bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 sebagai balasan membawa masuk barang terlarang kepada penghuni pusat tersebut.

​Perintah reman sehingga 7 Mac itu dikeluarkan oleh Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

​Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan bersama seorang lagi rakan sekerja lelaki berusia 40-an kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu pada Ahad.

​Bagaimanapun, katanya suspek lelaki berkenaan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM pada Isnin atas faktor kesihatan.

​"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025.

​"Mereka dipercayai meminta dan menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat pemulihan tersebut sebagai balasan membawa masuk barang terlarang," katanya di sini pada Isnin.

**media[3450045]**

​Mengulas lanjut, sumber berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan membawa masuk barang terlarang melalui pembekalan makanan tengah hari.

​"Wang rasuah tersebut diterima melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadi masing-masing serta akaun pihak ketiga," jelasnya.

​Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

​Beliau menambah, siasatan menyeluruh akan diteruskan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan tersebut.