Penjawat awam Kedah terima bonus RM3,000

LocalPolitics
15 Nov 2026 • 5:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penjawat awam Kedah terima bonus RM3,000
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM3,000 kepada 5,031 anggota pentadbiran dan penjawat awam sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah kira-kira RM15 juta.

"Sukacita diumumkan Kerajaan Negeri meluluskan Bantuan Khas Kewangan RM3,000 yang akan dibayar kepada semua anggota pentadbiran negeri dan penjawat awam negeri.

"Pembayaran akan dibuat sebanyak tiga kali iaitu pada Disember 2026 sebagai persiapan persekolahan, Februari 2027 sempena Aidilfitri dan Ogos 2027 pada bulan Kemerdekaan," katanya ketika membentangkan Bajet Kedah 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Ahad.

Beliau dalam masa sama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas sokongan padu, pandangan bernas, komitmen tidak berbelah bahagi dalam memastikan tadbir urus telus serta berintegriti di samping menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

Jelas beliau, penghargaan turut ditujukan kepada seluruh jentera penjawat awam negeri dan persekutuan yang berkhidmat di Negeri Kedah.

"Gerak kerja cemerlang tuan-tuan dan puan-puan di lapangan, bermula daripada kumpulan sokongan sehinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi adalah nadi kepada pelaksanaan setiap inisiatif dan program pembangunan negeri.

"Sesungguhnya, kerjasama erat antara kepimpinan politik dan jentera pentadbiran adalah kunci kejayaan kita dalam membangunkan Negeri Kedah yang kita cintai ini," jelas beliau.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved