Penjawat awam Perak terima bonus dua bulan gaji

LocalPolitics
25 Nov 2025 • 2:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saarani (depan, dua dari kiri) ketika hadir bagi ucapan Pembentangan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. Foto Bernama
image is not available

IPOH - Kerajaan Perak pada Selasa mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, insentif berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada peranan dan khidmat besar penjawat awam dalam memastikan kelangsungan pentadbiran negeri.

"Bantuan khas ini meliputi semua penjawat awam negeri termasuk Ahli-ahil Ex Officio, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta kakitangan lantikan MySTEP," katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini pada Selasa.

Saaarani berkata, bagi pemimpin masyarakat iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan India serta Tok Batin akan menerima bantuan khas sama pada kadar RM600.

**media[3352915]**

"Bantuan khas ini juga dipanjangkan kepada semua guru KAFA, guru I'dadi dan Thanawi pada kadar RM400," katanya.

Kerajaan negeri turut mengurangkan kadar faedah Pinjaman Kumpulan Wang Pinjaman Kenderaan dan Pinjaman Komputer kepada 2 peratus setahun berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Sementara itu, sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), kerajaan negeri memperuntukkan bantuan khas kewangan dua bulan elaun iaitu RM20,000 kepada setiap pusat khidmat.

"Semua bayaran BKK yang disebutkan tadi akan dibuat pada Disember depan manakala untuk Pusat Khidmat DUN pula pada Januari 2026," katanya.