
SHAH ALAM, 23 JUN: Penjawat awam negeri ini menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mempertahan Selangor sebagai kubu kuat Kerajaan Perpaduan.
Malah rata-rata mereka menaruh harapan agar negeri ini diterajui kerajaan sama pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang demi kestabilan dan kemajuan berterusan.

Pegawai tadbir Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Ekamatul Manorah Iktiman menyifatkan tugas pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi lebih mudah sekiranya kerajaan sama memimpin negeri ini.
“Kami sahut seruan itu kerana apabila pentadbiran pusat dan negeri dipimpin kerajaan sama, kerja jadi lebih senang serta tiada percanggahan. PBT juga mudah terima arahan daripada pihak atasan.
“Justeru kami akan teruskan tekad dan bekerja keras bagi memastikan Selangor dipimpin Kerajaan Perpaduan. Rugi jika pentadbiran berubah kerana pelbagai inisiatif sudah dijalankan bagi membantu rakyat.
“Misalnya pengenalan Skim Insurans Am Selangor (INSAN), malah semasa negara dilanda Covid-19, Kerajaan Selangor melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat,” katanya yang sudah 12 tahun berkhidmat di MPS.

Sementara itu, Eksekutif Komunikasi Korporat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) Mohd Fitri Haziq Zainal Abidin berkata penjawat awam harus berganding bahu memastikan Selangor kekal di bawah Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, Selangor wajar dipimpin kerajaan sedia ada mengambil kira prestasi dipamerkan lima tahun kebelakangan ini melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program untuk rakyat.
“Walaupun berlaku banyak perubahan di peringkat kerajaan pusat dalam tempoh berkenaan, tetapi Kerajaan Negeri tetap utuh kerana rakyat sendiri yakin terhadap pemimpin.
“Seruan perdana menteri supaya negeri ini kekal ditadbir kerajaan sama wajar disahut penjawat awam. Untuk capai ke arah itu, kami (penjawat awam) akan jadi ejen penyampai kepada rakyat berhubung usaha dilakukan Kerajaan Negeri selama ini,” katanya.

Kakitangan Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula menyokong sepenuhnya seruan Anwar terhadap penjawat awam yang menjadi tonggak pembangunan negeri.
Berpuas hati dengan pentadbiran Selangor ketika ini, Azizah Idris berkata pendapatan negeri yang meningkat saban tahun bukan sahaja dinikmati penjawat awam, malah dirasai rakyat jelata.
“Maka saya sokong apa yang disuarakan perdana menteri. Sudah tentu menuntut komitmen kami (penjawat awam) untuk memastikan Selangor kekal di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Apatah lagi Selangor menjadi negeri penyumbang utama hasil negeri. Semua perkara yang dilaksanakan Kerajaan Negeri terbaik,” katanya.
Pada 12 Jun lalu, Anwar menyeru kakitangan awam Selangor mempertahan negeri ini sebagai kubu Kerajaan Perpaduan berikutan prestasi terbaik dicatat selain komitmen menyelamatkan negara.
Pemimpin nombor satu negara itu turut mengajak kakitangan kerajaan supaya berani mengembalikan maruah dan imej Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini.
The post Penjawat awam Selangor sahut seruan PM pertahan kubu kuat Kerajaan Perpaduan appeared first on Selangorkini.

