Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan penjawat awam tidak menggunakan aplikasi media sosial seperti TikTok dan Facebook sewaktu sedang bertugas menurut laporan Harian Metro. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat, penjawat awam perlu memberi tumpuan penuh terhadap tugas semasa waktu bekerja sebagaimana yang dinyatakan dalam surat edaran rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh Jun 2013.
Menurut beliau lagi, penggunaan media sosial sewaktu bertugas tanpa keperluan rasmi boleh menjejaskan produktiviti dan menyalahi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993].

Pada tahun 2020 Datuk Dr Adnan Mat telah mengeluarkan peringatan yang sama selepas penjawat awam yang memakai uniform jabatan masing-masing didapati merakam video yang tidak senonoh, jelek serta berunsur negatif sebelum dimuat naik ke platform media sosial peribadi seperti TikTok, Instagram, YouTube dan Facebook.
Isu penjawat awan menggunakan masa bekerja menggunakan aplikasi media sosial kembali menjadi bualan ramai apabila semakin ramai guru sekolah didapati memuat naik video pelajar ketika waktu sekolah tanpa kebenaran ibu bapa serta penjaga.
Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan UK telahpun mengharamkan aplikasi TikTok dipasang pada peranti rasmi yang digunakan penjawat awam atas sebab keselamatan. Mungkin selepas ini kerajaan Malaysia boleh mengeluarkan arahan yang sama tetapi atas sebab mengelakkan isu masa bekerja disalahgunakan.
Sekiranya anda melihat penjawat awam menggunakan aplikasi media sosial ketika bertugas, anda boleh melaporkannya menerusi laman Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).



